IPCC Belum Terima Aduan Salah Laku Pegawai Penyiasat Kes Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) setakat ini belum menerima sebarang aduan berhubung dakwaan salah laku dua pegawai penyiasat dalam kes Muhammed Yusoff Rawther.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang aduan mengenai salah laku anggota polis perlu dibuat secara bertulis dan dikemukakan kepada IPCC mengikut peruntukan Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).

“Setakat ini, IPCC tidak menerima apa-apa aduan mengenai salah laku pegawai penyiasat tersebut.

“Sekiranya aduan tersebut diterima oleh IPCC, aduan tersebut akan dikendalikan sebagaimana tatacara dan prosedur yang ditetapkan dalam Akta 839,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan pemerhatian Mahkamah Tinggi dalam kes Yusoff Rawther berhubung kegagalan dua pegawai penyiasat menyiasat dakwaan beliau diperangkap.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan mengenai status semakan dalaman terhadap kelemahan penyiasatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan Ketua Polis Negara selepas keputusan mahkamah berkenaan.

Menurut Saifuddin, skop salah laku yang berada di bawah bidang kuasa IPCC adalah seperti diperuntukkan dalam Seksyen 22 Akta 839.

Beliau berkata, sekiranya aduan diterima berhubung dakwaan salah laku pegawai penyiasat terbabit, IPCC akan mengendalikannya mengikut tatacara dan prosedur yang ditetapkan dalam akta berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles