Tourism Malaysia, Merchantrade Sedia Kad Tanpa Tunai Pelancong

PUTRAJAYA: Pelancong antarabangsa dan domestik kini dapat menikmati kemudahan transaksi tanpa tunai yang lebih lancar susulan pelancaran Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), hari ini.

Inisiatif itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dan penyedia perkhidmatan wang elektronik berlesen, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade).

Majlis pelancaran dan pertukaran dokumen MoU tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, sinergi antara sektor awam dan swasta merupakan kunci utama dalam memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan terunggul.

“Kerjasama kami dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan, selaras dengan aspirasi kempen Visit Malaysia 2026–2027,” katanya.

Sementara itu, Ramasamy berkata, pihaknya komited menghubungkan pelawat asing dengan perniagaan tempatan melalui ekosistem pembayaran digital yang selamat dan pantas.

“Dengan menyediakan kemudahan pembayaran daripada tunai kepada digital serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar, kami memberikan keyakinan kepada pelawat dari seluruh dunia untuk berbelanja di premis tempatan, merangkumi aktiviti membeli-belah hingga ke pelbagai tarikan pelancongan menarik,” katanya.

Kad edisi khas yang dilengkapi dompet elektronik pelbagai mata wang itu menyokong rangkaian Visa, DuitNow QR di seluruh negara, Google Wallet, Samsung Wallet, serta akses mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di peringkat global.

Pemegang kad turut berpeluang menikmati pelbagai diskaun di rangkaian rakan niaga Tourism Malaysia termasuk hotel, pusat beli-belah dan restoran, di samping melengkapi kempen Cuti-Cuti Malaysia bagi pengembara tempatan.

Pelancong boleh mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di negara ini menerusi cawangan Merchantrade terpilih seperti di Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall, Sabah, selain dipromosikan melalui 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta pelawat dalam tempoh sama tahun lalu.

Maklumat lanjut mengenai aplikasi Merchantrade Money boleh layari laman web rasmi, Google Play Store dan Apple App Store atau di pautan tertera:

www.merchantrademoney.com/visitmalaysia2027/

 

BBerkaitan

Latest articles