KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneroka potensi penglibatan golongan muda yang memiliki kemahiran digital, termasuk pemain permainan video (gamers), bagi memperkukuh keupayaan pengendalian dron ketenteraan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, ATM sentiasa memantau perkembangan teknologi pertahanan serta mengenal pasti kepakaran diperlukan bagi menyokong pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), khususnya untuk misi risikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) di Laut China Selatan.
Menurutnya, kecanggihan teknologi ketenteraan ketika ini memerlukan pengetahuan serta kemahiran khusus, termasuk kepakaran teknikal, penyelarasan operasi dan keupayaan membuat keputusan dalam keadaan mencabar.
“Pengalaman dalam permainan video atau pengendalian dron rekreasi boleh dianggap sebagai kelebihan tambahan, tetapi ia tidak secara automatik menjadikan seseorang memiliki kompetensi diperlukan untuk operasi ketenteraan.
“Pengendalian dron tentera memerlukan latihan khusus, pengetahuan teknikal, pemahaman prosedur operasi, disiplin dan keupayaan melaksanakan misi dengan selamat,” katanya dalam wawancara bersama The Star.
Malek Razak berkata, seseorang yang mengendalikan dron ketenteraan juga perlu mempunyai pengetahuan menyeluruh mengenai sistem berkenaan, termasuk aspek keselamatan penerbangan, pengurusan risiko, prosedur operasi dan tanggungjawab ketika melaksanakan misi.
Beliau berkata, proses pengambilan dan pemilihan anggota ATM akan terus berdasarkan kelayakan ditetapkan, penilaian kebolehan serta kompetensi calon.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan teknologi digital dan perubahan minat generasi muda membuka peluang kepada ATM untuk mengenal pasti bakat berpotensi menyertai pasukan keselamatan negara.
“ATM terbuka untuk meneroka pendekatan kreatif dan inovatif bagi menarik minat golongan muda, termasuk penggunaan platform digital, teknologi interaktif, simulasi dan aktiviti berasaskan kemahiran.
“Pendekatan ini boleh menjadi platform berkesan untuk memperkenalkan keupayaan ketenteraan, termasuk sistem tanpa pemandu, komunikasi, keselamatan siber dan teknologi pertahanan moden,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Malek Razak berkata ATM turut menyemak dasar pengambilan anggota secara berterusan bagi memastikan pembangunan sumber manusia kekal relevan dengan kemajuan teknologi serta keperluan keselamatan semasa.
Menurutnya, peluasan Skim Perkhidmatan Askar Lasykar Angkatan Tetap mulai 1 Januari tahun ini turut membuka peluang akademik dan kerjaya lebih luas kepada anggota yang layak, termasuk akses kepada Skim Tauliah Pegawai Tetap dan kategori Senarai Perkhidmatan Khas.
Beliau berkata, ATM juga membuka peluang pengambilan kepada pemegang kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 2 dan 3 serta kelayakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Katanya, langkah itu dapat memperluas kumpulan calon berpotensi, khususnya golongan muda yang memiliki kemahiran teknikal berkaitan.
Terdahulu, Malaysia memperoleh tiga unit dron ANKA-S bernilai RM423.8 juta dan merancang mendapatkan tiga unit tambahan dalam fasa kedua bagi meningkatkan keupayaan pengumpulan risikan serta pengawasan tanpa pemandu di Laut China Selatan dan perairan Sabah.










