Pemeriksaan rutin TUDM kesan dadah di Pangkalan Udara Subang, lima anggota ditahan

Kuala Lumpur — Pemeriksaan rutin Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap bagasi yang akan dimuatkan ke dalam pesawat tentera membawa kepada penemuan dadah berbahaya di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata petugas TUDM mengesan lima bagasi dan sebuah kotak yang mencurigakan ketika menjalankan pemeriksaan di Bangunan Pergerakan Udara (AMS) di pangkalan berkenaan.

Penemuan itu segera dilaporkan kepada Cawangan Penyiasatan Zon Tengah TUDM, yang kemudian menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Menurutnya, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi kira-kira jam 5.20 petang pada hari sama dan mengesahkan bahan yang ditemukan ialah dadah berbahaya.

Polis menyita kelima-lima bagasi dan kotak itu sebagai bahan bukti, manakala lima anggota TUDM yang disyaki terlibat ditahan bagi membantu siasatan.

Mohamed Khaled berkata penemuan itu adalah yang pertama seumpamanya ketika pemeriksaan rutin TUDM. Kes berkenaan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut dan TUDM akan memberikan kerjasama penuh.

“Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan jenayah. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang terbukti terlibat atau bersubahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan dan penguatkuasaan dalaman akan terus dipergiat bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bebas daripada kegiatan dadah.

Sebelum itu Polis memaklumkan pihaknya telah 11 individu, termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata lima pegawai TUDM dan enam orang awam itu ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu dibongkar hasil kerjasama risikan antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

BBerkaitan

Latest articles