Wan Saiful Desak Minit Pengampunan Anwar 2018 Turut Dinyahklasifikasi

KUALA LUMPUR: Pendedahan dokumen berkaitan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya terhenti kepada seorang individu, sebaliknya minit penuh mesyuarat yang membawa kepada pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 juga perlu dibuka kepada umum.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata prinsip ketelusan perlu diterapkan secara menyeluruh, bukannya hanya melibatkan keputusan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu mempersoalkan mengapa minit penuh Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-51 pada 16 Mei 2018, yang membawa kepada pengampunan penuh Anwar, tidak turut dinyahklasifikasikan untuk penelitian masyarakat.

Menurutnya, penularan dokumen minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Najib ketika ini mencetuskan persoalan mengenai bagaimana dokumen berkenaan boleh tersebar, selain desakan supaya pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Namun, katanya, isu sama turut menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dokumen pengampunan bagi kes terdahulu.

“Kalau benar kita mahu ketelusan, biarlah semuanya terbuka dan tidak hanya melibatkan satu pihak.

“Saya mencadangkan supaya minit penuh mesyuarat tersebut juga dinyahklasifikasikan. Setuju?” katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, mendedahkan beberapa halaman minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) berkaitan Najib yang telah dinyahklasifikasikan.

Dokumen itu antara lain menunjukkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Mohd Dusuki dilaporkan berpendapat Najib perlu menjalani hukuman penjara sehingga 2028, manakala tahanan rumah tidak mempunyai peruntukan dalam undang-undang negara.

Perkembangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November lalu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda RM50 juta yang dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi pada 6 November terhadap Najib.

BBerkaitan

Latest articles