KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,305 aduan berhubung pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang 2025 hingga 2026, termasuk struktur yang didirikan berhampiran infrastruktur kritikal seperti hospital dan institusi perubatan.
Daripada jumlah itu, 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah untuk tindakan lanjut kerana isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa jabatan terbabit.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan dilaksanakan PBT, membabitkan 432 tindakan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, arahan berpindah dan perobohan.
Menurut kementerian itu, semua rumah ibadat tanpa mengira agama tertakluk kepada undang-undang pembinaan dan tidak diberikan sebarang pengecualian daripada keperluan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.
“ Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) menetapkan bahawa tiada seorang pun boleh mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT, termasuk masjid, gereja, tokong dan kuil,” katanya.
KPKT menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai tindakan terhadap aduan pembinaan rumah ibadat tanpa izin, khususnya yang berdekatan infrastruktur kritikal seperti hospital, meskipun kerajaan sebelum ini memberi jaminan tiada struktur terkecuali daripada undang-undang.
Kementerian itu turut menjelaskan, Seksyen 72(1) akta sama memberi kuasa kepada PBT mengeluarkan notis menghentikan pembinaan serta mengarahkan perobohan bangunan yang didirikan atau sedang dibina tanpa mematuhi Seksyen 70.
Bagi rumah ibadat yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran, tindakan berada di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri, termasuk pengeluaran notis kepada pihak yang menceroboh berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.
Sementara itu, pemilik tanah persendirian tidak dibenarkan merobohkan sendiri struktur berkenaan bagi mengelakkan ketegangan kaum atau agama.
Sebaliknya, mereka perlu membuat laporan polis, mengeluarkan notis kepada pihak yang membina rumah ibadat serta memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Daerah atau PBT.
Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) juga boleh diaktifkan sebagai pengantara bagi memanggil semua pihak terlibat untuk mencari penyelesaian yang munasabah.
KPKT menegaskan setiap aduan akan diteliti dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan, tegas serta menyeluruh bagi memastikan pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal, terutama apabila melibatkan keselamatan dan kepentingan awam.










