KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) tidak boleh disamakan dengan tindakan derhaka atau ingkar terhadap institusi diraja, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab setiap ahlinya dalam menilai sesuatu permohonan.
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mempunyai ruang untuk menyuarakan pendirian masing-masing selepas diminta memberikan pandangan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi FTPB.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, yang tidak semestinya terikat dengan pandangan ahli lembaga berkenaan.
Beliau berkata, pandangan setiap ahli perlu dipertimbangkan, namun keputusan akhir untuk menggunakan kuasa pengampunan kekal sebagai hak prerogatif Agong.
“Pandangan berbeza, termasuk tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan, adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka sebagai ahli lembaga, bukannya tindakan ingkar atau tidak setia kepada institusi diraja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zainul Rijal yang juga penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia berkata demikian susulan pendedahan minit mesyuarat FTPB bertarikh 18 September yang menunjukkan Dusuki dan Hannah membantah cadangan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Pendedahan dokumen yang dinyahklasifikasi itu mencetuskan polemik apabila beberapa pihak mendakwa kedua-duanya mengingkari titah Agong.
Dalam pada itu, Zainul Rijal menjelaskan terdapat batasan terhadap campur tangan mahkamah dalam keputusan tertentu yang membabitkan pelaksanaan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 10 November memutuskan Najib boleh menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selepas denda yang dikurangkan kepada RM50 juta dijelaskan oleh UMNO.
Najib sebelum ini disabitkan kesalahan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.










