KUALA LUMPUR: MISC Berhad dijangka menggunakan pinjaman bank sebanyak RM2.27 bilion bagi membiayai sebahagian besar komitmen pelaburan berjumlah RM3.03 bilion dalam cadangan pengambilalihan Yinson Holdings Berhad.
Menurut laporan The Edge Malaysia Weekly, kira-kira 75 peratus daripada jumlah pelaburan MISC itu akan dibiayai melalui pinjaman, manakala baki 25 peratus atau kira-kira RM760 juta menggunakan dana dalaman syarikat.
Cadangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha konsortium yang turut membabitkan keluarga pengasas Yinson, Lim dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam syarikat berkenaan dan menjadikannya syarikat persendirian.
Pada 6 November lalu, konsortium itu mengemukakan tawaran sebanyak RM2.50 sesaham bagi mengambil alih baki 55.2 peratus kepentingan dalam Yinson, dengan nilai keseluruhan tawaran kira-kira RM4.03 bilion.
Menerusi struktur cadangan itu, MISC dan keluarga Lim masing-masing bakal memiliki 41.464 peratus kepentingan, manakala KWSP memegang baki 17.072 peratus.
Bagaimanapun, laporan The Edge turut membangkitkan beberapa persoalan berkaitan kedudukan kewangan Yinson, khususnya jumlah hutang dan komitmen pembayaran kewangan yang perlu ditanggung syarikat berkenaan.
Setakat 31 Julai lalu, Yinson mempunyai hutang jangka panjang berjumlah RM13.77 bilion dan pinjaman jangka pendek sebanyak RM2.58 bilion.
Selain itu, syarikat berkenaan turut mempunyai saham keutamaan boleh tebus boleh tukar (RCPS) bernilai RM3.33 bilion serta sekuriti kekal berjumlah RM1.94 bilion.
Laporan itu turut menyatakan Yinson menanggung kos kewangan sebanyak RM784 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai lalu, berbanding keuntungan operasi RM1.098 bilion dalam tempoh sama.
Yinson bagaimanapun mempunyai kedudukan tunai sebanyak RM4.18 bilion pada akhir tempoh berkenaan.
Antara perkara yang turut menjadi perhatian ialah instrumen RCPS yang diterbitkan anak syarikat Yinson kepada pelabur asing, dengan kadar kupon tunai tahunan sebanyak 12.95 peratus atau lebih tinggi bergantung kepada terma pembayaran.
Laporan The Edge turut membangkitkan persoalan mengenai kesan komitmen kewangan tersebut terhadap pulangan yang bakal dinikmati pemegang saham biasa, termasuk MISC sekiranya pengambilalihan itu berjaya disempurnakan.
Dari sudut strategik, cadangan pengambilalihan itu dilihat berpotensi mengukuhkan kedudukan MISC dalam industri tenaga luar pesisir global, khususnya melalui kepakaran Yinson dalam pembangunan dan pengoperasian kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).
Kedua-dua syarikat mempunyai kepentingan dalam sektor berkenaan, sekali gus membuka peluang kerjasama serta peluasan operasi dalam pasaran antarabangsa.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan masih tertakluk kepada proses pertimbangan dan kelulusan berkaitan, termasuk keputusan lembaga pengarah Yinson sama ada mahu mengesyorkan tawaran itu kepada pemegang saham.
Laporan The Edge menyatakan tarikh akhir bagi lembaga pengarah Yinson membuat keputusan berhubung cadangan berkenaan ialah 4 Disember ini.










