KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah keputusan memberikan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, perkara itu jelas berdasarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang telah dinyahklasifikasikan dan mendedahkan pendirian wakil kerajaan dalam proses pemberian pengampunan kepada Najib.
Tony Pua turut memuat naik dokumen minit mesyuarat berkenaan menerusi Facebook, bagaimanapun terdapat beberapa halaman dokumen yang tidak lengkap.
Menurutnya, Peguam Negara dan Hannah mewakili pendirian kerajaan yang menolak cadangan tahanan rumah terhadap Najib.
“Yang di-Pertuan Agong meneruskan keputusan memberikan pengampunan, bertentangan dengan nasihat Peguam Negara dan pendirian rasmi kerajaan, atas dasar bahawa keputusan akhir terletak di bawah bidang kuasa prerogatif baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Tony Pua turut mendakwa kedua-dua wakil kerajaan itu tidak memberikan sebarang komen terhadap draf perintah pengampunan kerana mereka tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Lebih mengejutkan, beliau mendakwa Hannah pada awalnya enggan menandatangani perintah pengampunan itu dan meminta supaya individu lain melakukannya.
Bagaimanapun, katanya, Yang di-Pertuan Agong menitahkan Hannah supaya menandatangani dokumen berkenaan sebelum beliau akur melaksanakan arahan tersebut.
Mengulas lanjut, Tony Pua berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong yang dibuat berdasarkan prerogatif diraja itu tetap dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan walaupun ia bukan pendirian atau nasihat kerajaan.
“Keputusan Yang di-Pertuan Agong, yang ditegaskan kerajaan sebagai prerogatif baginda di bawah undang-undang Malaysia, dihormati dan dilaksanakan oleh kerajaan walaupun ia bukan nasihat atau pendirian kerajaan kita,” katanya.
Pendedahan itu sekali gus membangkitkan semula persoalan mengenai pendirian kerajaan dalam proses pengampunan Najib, khususnya berhubung cadangan membenarkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.










