Hampir 90 Peratus Pelaburan TH Kekal Dalam Pasaran Domestik

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan hampir 90 peratus daripada aset pelaburannya dalam pasaran domestik, manakala baki kira-kira 10 peratus dilaburkan di pasaran global bagi memastikan pengurusan dana pendeposit kekal mampan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, strategi pelaburan TH dilaksanakan berdasarkan rangka Alokasi Aset Strategik (Strategic Asset Allocation – SAA) dengan mengambil kira tahap toleransi risiko yang bersesuaian.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan dana simpanan pendeposit diuruskan secara berhemah dan selamat, meskipun kerajaan memberikan jaminan sepenuhnya terhadap simpanan berkenaan.

“Pada masa ini, Tabung Haji memperuntukkan 54 peratus alokasi dalam instrumen berpendapatan tetap, 29 peratus dalam ekuiti, 12 peratus dalam hartanah dan selebihnya dalam pasaran tunai.

“Dari segi pendedahan geografi pula, hampir 90 peratus aset pelaburan Tabung Haji dilaburkan dalam pasaran domestik, manakala baki kira-kira 10 peratus dalam pasaran global,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mengenai langkah TH mengimbangi pelaburan domestik dan global bagi memastikan agihan keuntungan kompetitif ketika ketidaktentuan ekonomi dunia.

Marhamah berkata, walaupun rangka SAA membenarkan pendedahan lebih besar kepada pasaran global, aktiviti pelaburan TH perlu mengambil kira serta mematuhi garis panduan pertukaran mata wang asing yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, rangka SAA turut disemak setiap tiga tahun bagi memastikan strategi pelaburan dan pengurusan risiko mengambil kira perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi serta pasaran modal.

Menurutnya, setiap cadangan pelaburan TH juga melalui proses penelitian dan kelulusan secara berperingkat membabitkan pihak pengurusan, panel pelaburan dan lembaga sebelum dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tertakluk kepada had kuasa serta keperluan kelulusan berkuat kuasa.

“Penekanan terhadap pengurusan dan pemantauan risiko serta pematuhan syariah diterapkan dalam setiap pelaburan dan perkara itu diambil serius oleh Tabung Haji,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar agihan keuntungan TH meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Katanya, peningkatan itu didorong pertumbuhan nilai aset pelaburan TH atau Assets Under Management (AUM) daripada RM75.8 bilion kepada RM96.4 bilion pada 2025.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak RM20.6 bilion atau kira-kira 27 peratus.

“Secara keseluruhan, Tabung Haji telah mengagihkan keuntungan sebanyak RM50 bilion sejak 1966 hingga 2025,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin mengenai sasaran komposisi pelaburan domestik dan antarabangsa bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang serta penanda aras bagi memastikan pulangan meningkat tanpa menjejaskan keselamatan modal pendeposit, Marhamah berkata, semua perancangan pelaburan perlu berlandaskan rangka SAA.

Katanya, sebarang cadangan dan perancangan untuk memulakan pelaburan baharu akan diteliti secara serius bagi memastikan dana pendeposit terus terpelihara.

“Insya-ALLAH, dana pendeposit Tabung Haji ini akan sentiasa dijaga dan dipastikan dapat diberikan manfaat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles