KUALA LUMPUR: Prestasi pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak wajar dibandingkan secara langsung dengan institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berikutan perbezaan mandat serta fungsi masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, TH lebih sesuai dibandingkan dengan akaun semasa dan simpanan bank (CASA) kerana mempunyai persamaan dari segi kemudahan deposit serta pengeluaran wang.
Beliau berkata, pendeposit TH boleh memasukkan wang dan membuat pengeluaran dalam tempoh singkat, berbeza dengan institusi pelaburan lain yang mempunyai mandat tersendiri.
“Tidak wajar kita membandingkan Tabung Haji secara langsung dengan institusi lain seperti KWSP, PNB, KWAP ataupun LTAT.
“Tabung Haji ini lebih sesuai dibandingkan dengan akaun bank, iaitu CASA kerana mempunyai persamaan dari segi kemudahan deposit dan pengeluaran,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang membangkitkan persoalan sama ada kadar agihan keuntungan TH lebih rendah berbanding institusi lain mencerminkan kecekapan pelaburan badan itu.
Muhammad Bakhtiar turut mencadangkan supaya TH mempertimbangkan pengambilan tenaga profesional dalam bidang pelaburan serta mewujudkan panel khas strategi pelaburan bagi menilai peluang pelaburan, seperti pendekatan yang dilaksanakan KWSP.
Mengulas lanjut, Marhamah berkata, TH menawarkan pulangan lebih tinggi berbanding akaun CASA bank, dengan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun 2025 selepas mengambil kira pembayaran zakat.
“Sekiranya hari ini kita memasukkan RM50 ke dalam Tabung Haji, esoknya kita boleh keluarkan RM30.
“Akan tetapi, jika dibandingkan dengan akaun CASA, Tabung Haji memberikan pulangan yang jauh lebih tinggi, iaitu 3.5 peratus bagi tahun 2025 setelah dilunaskan zakat, berbanding kurang satu peratus bagi akaun CASA bank,” katanya.
Dalam pada itu, Marhamah berkata, TH mengambil maklum cadangan berhubung pengambilan tenaga profesional dan penubuhan panel khas berkenaan.
Beliau berkata, TH akan meneliti cadangan itu serta terus menambah baik kaedah pelaburannya.










