KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) bukan anggota Lembaga Pengampunan dan tidak sesuai menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dimuat naik bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua di Facebooknya hari ini.
Dokumen itu mendedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mencadangkan supaya pegawai lain, termasuk KSN yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, menandatangani perintah berkenaan.
Cadangan itu dibangkitkan selepas Hannah memaklumkan terdapat perintah pengampunan palsu yang tular di media sosial, selain merujuk Seksyen 14 Akta Perwakilan Kuasa 1956 \[Akta 358\].
Berdasarkan catatan pada perenggan 1.17, Hannah mencadangkan supaya perintah pengampunan yang dipersetujui dalam mesyuarat itu ditandatangani pegawai lain seperti Setiausaha Jemaah Menteri memandangkan perkara berkenaan mempunyai implikasi politik besar dan kesan kepada kerajaan.
Bagaimanapun, cadangan itu tidak dipersetujui Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang di-Pertuan Agong yang berpandangan KSN tidak sesuai menandatangani perintah berkenaan kerana beliau tidak terlibat dalam perbincangan mesyuarat tersebut.
Minit mesyuarat pada perenggan 1.20 turut merekodkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu menyatakan bahawa KSN bukan anggota Lembaga Pengampunan.
Ahli Lembaga Majlis Pengampunan, Tan Sri Razarudin Husain, turut berpandangan tindakan meminta pihak lain menandatangani perintah berkenaan boleh menimbulkan isu lebih besar kerana ia seolah-olah menggambarkan Hannah tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Beliau juga berpandangan tidak sesuai untuk meminta pihak lain menandatangani perintah itu bagi pihak Hannah.
Susulan pertimbangan terhadap pandangan anggota Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong kemudian memutuskan supaya Hannah menandatangani Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan kerana ia merupakan tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Keputusan itu direkodkan dalam perenggan 1.22 minit mesyuarat yang menyatakan bahawa baginda membuat keputusan berkenaan selepas menimbang pandangan anggota Lembaga Pengampunan.
Dalam perkembangan sama, dokumen itu turut merekodkan pendirian Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika itu yang berpandangan hukuman penjara Najib perlu diteruskan sehingga 2028.
Pada perenggan 1.2, Peguam Negara menyatakan hukuman tahanan rumah tidak diperuntukkan dalam undang-undang dan merupakan perkara asing dalam sistem negara.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan keputusan berkenaan memberi kesan kepada kerajaan, khususnya dari segi kestabilan politik, ekonomi, pelaburan serta imej negara di peringkat antarabangsa.
Hannah pula pada perenggan 1.3 menyatakan pandangannya sama dengan pendirian Peguam Negara serta pandangan yang pernah dikemukakannya dalam mesyuarat terdahulu.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong pada perenggan 1.9 berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib melalui pelaksanaan baki hukuman secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Dokumen itu turut menunjukkan Peguam Negara dan Hannah tidak memberikan sebarang komen terhadap draf syarat pengampunan bersyarat berkenaan kerana tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Perkara itu direkodkan pada perenggan 1.13, manakala dua anggota lain, Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Tan Sri Razarudin, bersetuju dengan syarat-syarat yang dicadangkan tanpa sebarang komen.
Bagaimanapun, dokumen yang dikongsikan Tony Pua itu tidak lengkap kerana beberapa halaman tidak disertakan.
Minit tersebut bertajuk Peringatan Butir-Butir Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 yang berlangsung pada 18 September 2026 di Istana Negara.
Dokumen yang dikongsikan itu antara lain merekodkan perbincangan mengenai rayuan pengampunan Najib, termasuk pendirian anggota Lembaga Pengampunan, keputusan pengampunan bersyarat serta isu penandatanganan perintah berkenaan.










