Bayar RM210 Juta Setahun Tanpa Jaminan Air, Guan Eng Persoal Kerajaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan perjanjian pembelian air terawat antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan Perak yang didakwa mewajibkan pembayaran caj kapasiti RM210 juta setahun selama 40 tahun, walaupun bekalan air tidak diterima.

Beliau berkata, perjanjian di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara itu membabitkan komitmen pembayaran keseluruhan RM24.6 bilion, merangkumi caj kapasiti RM8.4 bilion dan caj bekalan RM16.2 bilion sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, isu itu dibangkitkan selepas lima daripada 12 pengarah PBA Holdings Bhd (PBAH) menyatakan bantahan terhadap cadangan pembelian air terawat berkenaan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu pada 12 November lalu.

Lima pengarah bebas terbabit ialah Datuk Brian Tan Guan Hooi, Lim Eng Huat, Nor Hatina Md Salleh, Lim Seang Lee dan Raja Azmi Raja Nazuddin.

Guan Eng mendakwa, perkara yang menimbulkan kebimbangan ialah kewajipan PBAPP membayar caj kapasiti RM210 juta setahun walaupun Perak gagal membekalkan jumlah minimum 300 juta liter air terawat sehari atau tidak membekalkan air langsung.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kepentingan rakyat Pulau Pinang benar-benar dilindungi oleh kerajaan negeri ketika perjanjian berkenaan dimeterai.

“Bagaimanakah kepentingan rakyat dilindungi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila kerajaan negeri memeterai satu perjanjian yang mengenakan kewajipan kontrak untuk membayar RM210 juta setiap tahun walaupun tiada setitis air terawat pun dibekalkan?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, caj bekalan pula berpotensi meningkat sepanjang tempoh perjanjian berdasarkan tarif asas air terawat yang ditetapkan pada kadar permulaan RM1.70 bagi setiap meter padu.

Katanya, tarif berkenaan dijangka meningkat kepada RM7.21 bagi setiap meter padu dalam tempoh 40 tahun, selain berpotensi mengalami kenaikan susulan semakan kontrak selepas 22 tahun.

Beliau berkata, kos tambahan lain yang ditanggung PBAPP juga berkemungkinan menyebabkan tarif asas kepada pengguna meningkat lagi.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, persoalan utama bukan sekadar kadar tarif air terawat yang dibeli daripada Perak, sebaliknya kewajipan membayar caj kapasiti walaupun bekalan tidak diterima.

“Ini merupakan satu perjanjian yang tidak adil kepada rakyat Pulau Pinang, tidak rasional, bertentangan dengan logik yang waras serta bercanggah bukan sahaja dengan prinsip tadbir urus yang baik, malah kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ahli EXCO Kerajaan Negeri, Zairil Khir Johari menjelaskan perkara itu kepada rakyat.

Menurutnya, kegagalan memberikan penjelasan sewajarnya berhubung komitmen kewangan berkenaan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap pengurusan bekalan air negeri.

BBerkaitan

Latest articles