Khir Toyo Tinggalkan Bersatu, Sertai Wawasan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, sekali lagi menukar haluan politik apabila meninggalkan Bersatu untuk menyertai Wawasan, parti yang diterajui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Keputusan itu dibuat selepas lebih setahun beliau menyertai Bersatu.

Khir merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang selama tiga penggal.

Beliau berkata, keputusan meninggalkan Bersatu dibuat kerana parti itu didakwa semakin kehilangan hala tuju, selain dibelenggu konflik dalaman yang berterusan.

“Saya meninggalkan Bersatu kerana parti itu dilihat sudah kehilangan hala tuju dan sentiasa bergaduh sesama mereka,” katanya.

Khir pernah menerajui kerajaan Selangor dari 2000 hingga 2008 sebelum kerjaya politiknya terjejas susulan sabitan kesalahan menyalahgunakan kuasa berhubung pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah di Shah Alam.

Beliau dijatuhi hukuman penjara setahun pada 2015, namun dibebaskan secara parol selepas menjalani hukuman selama enam bulan.

Bekas pemimpin itu sebelum ini turut berusaha menghidupkan semula karier politiknya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 apabila menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) memilih Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar ketika itu, Datuk Seri Jamal Yunos, sebagai calon di kerusi berkenaan.

Jamal bagaimanapun gagal merampas kerusi itu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).

BBerkaitan

Latest articles