Suara Sabah, Sarawak Perlu Lebih Kuat Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memastikan suara Sabah dan Sarawak mendapat perwakilan sewajarnya di Parlimen bagi membolehkan kepentingan serta hak kedua-dua wilayah itu diambil kira dalam setiap keputusan dasar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, keperluan itu penting bagi memastikan suara Borneo tidak diketepikan dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu difahami dan dihormati kerana perjanjian berkenaan menjadi asas pembentukan Malaysia.

“Kita kena faham semangat MA63. Kita kena faham bahawa tanpa MA63 ini tidak akan terbentuk Malaysia.

“Jadi, apa yang kita minta ialah kita mahu suara Borneo, suara Sabah dan Sarawak ini cukup di Dewan yang mulia ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan yang membangkitkan implikasi peningkatan kuasa perwakilan politik Sabah dan Sarawak terhadap keseimbangan kuasa dalam proses membuat keputusan negara.

Zakri turut meminta penjelasan mengenai mekanisme bagi memastikan penambahan kerusi Parlimen tidak hanya menguntungkan parti politik tertentu, sebaliknya memperkukuh suara rakyat kedua-dua wilayah berkenaan.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, perwakilan sewajarnya diperlukan supaya sebarang keputusan dasar yang ditetapkan di Parlimen mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan suara Borneo tidak lagi didengari pada masa hadapan, khususnya sekiranya wujud pemikiran ekstrem dalam landskap politik negara.

“Jadi, kita perlukan the right sizing, the right representation untuk rakyat Sabah dan Sarawak bersuara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan geografi Sabah dan Sarawak yang luas turut menjadi antara faktor keperluan menambah peruntukan bagi memastikan pembangunan di kawasan masing-masing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, peningkatan peruntukan perlu seiring dengan keperluan kawasan yang luas serta tanggungjawab wakil rakyat untuk menjaga kebajikan penduduk.

Sehubungan itu, Mustapha berharap semua Ahli Parlimen menyokong cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 46 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Saya minta supaya dua pertiga daripada Ahli Parlimen ini menyokong usul ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles