Hutang Dan Liabiliti Kerajaan Cecah RM1.76 Trilion

KUALA LUMPUR: Jumlah hutang dan liabiliti terkumpul Kerajaan Persekutuan mencecah RM1.763 trilion atau 80.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Jun 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi komitmen jaminan sebanyak RM248.3 bilion, meningkat berbanding RM245.8 bilion pada 2025.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan marginal komitmen jaminan itu melibatkan pembiayaan projek infrastruktur.

Menurutnya, liabiliti lain yang terdiri daripada obligasi kewangan di bawah kerjasama awam swasta dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) pula berkurang kepada RM136.2 bilion berbanding RM143.7 bilion pada 2025.

“Kerajaan kekal komited dalam melaksanakan langkah pembaharuan fiskal untuk menyediakan ruang fiskal yang mampan seterusnya memastikan pengurusan hutang yang berhemah berlandaskan Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis pada Selasa kepada soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang meminta penjelasan mengenai jumlah terkini hutang negara dan liabiliti keseluruhan kerajaan serta keberkesanan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sejak akta berkenaan dikuatkuasakan, usaha konsolidasi fiskal dilaksanakan secara berperingkat sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Katanya, pencapaian itu lebih baik berbanding sasaran asal 3.8 peratus, manakala defisit fiskal bagi 2026 diunjurkan pada 3.6 peratus berbanding sasaran asal 3.5 peratus.

“Defisit seterusnya diunjurkan berkurang kepada 3.3 peratus pada 2027 selaras dengan sasaran FRA di bawah tiga peratus dalam jangka sederhana,” katanya.

Dalam pada itu, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK diunjurkan menurun daripada 65.2 peratus pada 2025 kepada 64 peratus pada 2026 dan 63.7 peratus pada 2027.

Kerajaan turut menyasarkan pengurangan nisbah hutang kepada KDNK kepada 60 peratus menjelang 2030 selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Anwar berkata, usaha konsolidasi fiskal akan terus dipergiat menerusi pengukuhan kutipan dan pematuhan cukai, peluasan asas hasil, pengurangan ketirisan serta pengoptimuman perbelanjaan awam bagi menjamin kemampanan fiskal jangka panjang.

BBerkaitan

Latest articles