KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melahirkan kebimbangan terhadap kelemahan pelaksanaan fasa rintis Pelan Asas Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) atau MediAsas yang disifatkan tidak menyeluruh berikutan jumlah peserta terlalu kecil dan tidak mewakili keseluruhan rakyat.
Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, fasa rintis MediAsas di Lembah Klang hanya melibatkan 1,600 individu berbanding 9.9 juta rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta.
Menurutnya, jumlah itu mewakili kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan kumpulan sasaran, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelan berkenaan dalam menangani isu peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta.
“PAC melahirkan kebimbangan kerana sampel rintis MediAsas di Lembah Klang hanya mencatatkan sampel yang terlalu kecil dan tidak representatif, iaitu sebanyak 1,600 individu berbanding 9.9 juta rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan kesihatan swasta.
“Persampelan ini juga terhad kepada warga kerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat insurans yang sememangnya telah mempunyai perlindungan majikan,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila fasa rintis berkenaan sehingga kini tidak merekodkan sebarang kes pesakit sebenar yang dimasukkan ke wad atau membuat tuntutan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan keseluruhan rantaian operasi pelan berkenaan masih belum diuji secara praktikal.
Sehubungan itu, PAC menegaskan MediAsas perlu diperluaskan supaya menjadi jaringan perlindungan kepada rakyat kebanyakan termasuk pekerja sektor tidak formal, petani dan nelayan, bukannya hanya tertumpu kepada kelompok pertengahan atau M40.
Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati berkata, PAC turut memandang serius penangguhan pindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) sehingga suku pertama 2028.
Menurutnya, kelewatan itu berisiko mendedahkan pengguna kepada manipulasi caj serta penetapan margin keuntungan yang melampau.
“PAC juga berpandangan penetapan had 80 peratus bagi pemegang polisi yang dilindungi daripada pelarasan premium melebihi 10 peratus di bawah langkah interim Bank Negara Malaysia masih belum memadai.
“Perlindungan kawal selia sepatutnya merangkumi 100 peratus pengguna,” katanya.
Beliau berkata, konsep perubatan mampu milik menerusi MediAsas juga perlu diperincikan secara telus, khususnya membabitkan kadar bayaran deduktibel (deductible), had caruman dan pembayaran bersama (co-payment).
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan pelan berkenaan tidak berdepan masalah inflasi kos yang boleh menjejaskan matlamat asal pelaksanaannya.
Terdahulu, PAC membentangkan penyata tindakan susulan berhubung peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impaknya terhadap kesihatan awam.
Penyata berkenaan merupakan susulan kepada laporan asal yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Jun lalu, selain prosiding tindakan susulan bersama pegawai pengawal pada 6 Oktober 2026.
Mas Ermieyati berkata, PAC telah meneliti maklum balas Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia terhadap 17 syor yang dikemukakan sebelum ini.
Walaupun mengambil maklum beberapa inisiatif penambahbaikan di bawah agenda pemulihan atau RESET, termasuk pelaksanaan fasa rintis MediAsas dan inisiatif pemaparan harga ubat, PAC berpandangan masih terdapat kelompongan ketara dalam pelaksanaan dasar yang boleh menggagalkan matlamat melindungi pengguna.
Beliau berkata, PAC akan terus memantau pelaksanaan inisiatif di bawah agenda RESET, khususnya MediAsas, dan tidak teragak-agak memanggil semula pegawai pengawal sekiranya berlaku kegagalan atau kelewatan mematuhi arahan penjelasan (show-cause) yang dikemukakan.
Orang ramai dan pihak media boleh mendapatkan penyata tindakan susulan berkenaan menerusi laman sesawang rasmi PAC Parlimen Malaysia.










