KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya mendedahkan asas penilaian dan justifikasi keputusan kerajaan mengurangkan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Beliau berkata, persoalan yang dibangkitkan bukan berkaitan kaum atau agama, sebaliknya menyentuh ketelusan kerajaan dalam membuat keputusan membabitkan hasil negara dan pemberian kelonggaran kepada sesuatu pihak.
Menurutnya, Hannah perlu menjawab secara khusus mengapa premium tanah bagi tempoh pajakan 99 tahun yang dinilai sebanyak RM4.67 juta boleh dikurangkan hampir 100 peratus.
“Yang ditanya soalan mudah sahaja iaitu kenapa premium untuk tempoh 99 tahun yang dinilai pada RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Akmal turut mempersoalkan alasan KLSCAH mengalami defisit operasi kira-kira RM400,000 setahun sehingga menjadi antara pertimbangan pengurangan premium berkenaan.
Katanya, kerajaan perlu mendedahkan penyata kewangan beraudit bagi membolehkan orang ramai mengetahui sama ada angka tersebut merujuk kepada kos operasi bangunan atau keseluruhan persatuan.
“Kalau angka itu dijadikan alasan untuk mengurangkan premium, tunjukkan penyata kewangan beraudit.
“Rakyat berhak tahu sama ada angka itu merujuk kepada operasi bangunan atau keseluruhan persatuan,” katanya.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai dakwaan KLSCAH bersetuju menukar status tanah kepada tanah institusi sekali gus melepaskan potensi pembangunan komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah.
Menurutnya, bangunan berkenaan sudah diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007, justeru kerajaan perlu menjelaskan hak pembangunan yang masih dimiliki sebelum pertukaran status tanah itu dibuat.
Dalam pada itu, Akmal menegaskan isu premium tanah dan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) sememangnya berbeza, namun rakyat berhak mempersoalkan pertimbangan kerajaan dalam memberikan kelonggaran kepada pihak tertentu.
Katanya, perbandingan itu timbul apabila penghuni PPR yang berdepan kesukaran membayar sewa boleh dikenakan tindakan, sedangkan premium tanah KLSCAH dikurangkan hampir keseluruhan daripada nilai asal.
“Kalau diskaun DBKL kepada peniaga dijadikan contoh, jelaskan bagaimana diskaun 50 peratus selama dua tahun boleh dibandingkan dengan pengurangan hampir 100 peratus bagi premium untuk tempoh 99 tahun,” katanya.
Akmal turut mempersoalkan mengapa isu kaum dibangkitkan dalam perdebatan berkenaan sedangkan persoalan utama yang memerlukan jawapan ialah angka, syarat dan asas keputusan kerajaan.
“Kalau keputusan kerajaan terdahulu dijadikan sandaran, apa yang kerajaan MADANI buat secara berbeza atas nama reformasi?
“Terbitkan penilaian asal, alasan pengurangan premium dan syarat yang dikenakan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menilai pilihan mengambil alih bangunan berkenaan, memuliharanya dan membuka akses percuma kepada orang ramai sekiranya matlamat utama adalah untuk memelihara warisan.
Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan jaminan akses awam serta pihak yang akan bertanggungjawab menanggung kos penyelenggaraan bangunan itu.
“Kalau operasi bangunan itu benar-benar defisit RM400,000 setahun dan tanah itu dikatakan tiada nilai komersial, kenapa KLSCAH mahu terus memegangnya selama 99 tahun lagi?
“Dan atas asas apa kerajaan bersetuju menetapkan premiumnya pada RM1,000?” soalnya.
Sehubungan itu, Akmal meminta Hannah menjawab setiap persoalan yang dikemukakan dan bukannya mengalihkan perbincangan kepada tuduhan bahawa pihak yang mengkritik keputusan berkenaan menunggang isu agama.
“Mohon YB Menteri jawab setiap soalan yang diberikan, jangan pusing sana sini tuduh orang penunggang agama pula,” katanya.










