Pantun ‘Kena Kencing’ Cetus Kekecohan, PH Desak Ahmad Maslan Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Sepantun sindiran yang mencetuskan ketegangan di Dewan Rakyat hari ini bukan sahaja mengundang bantahan Pakatan Harapan (PH), malah mencetuskan desakan supaya Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan meletakkan jawatan.

Kekecohan tercetus apabila Ahmad (BN-Pontian) menyampaikan pantun mengaitkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika menjawab celahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai janji pilihan raya yang didakwa belum ditunaikan.

“Jika tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan.
Jika tak mahu kena kencing,
Sokong Barisan dan Perikatan,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) segera membantah, menyifatkan pantun itu sebagai penghinaan terhadap kerajaan perpaduan dan mempersoalkan sama ada Ahmad berucap sebagai timbalan menteri atau pemimpin UMNO.

“Jangan hina kami di Dewan. Jangan memalukan diri sendiri. Jangan berpolitik.

“Kamu adalah timbalan menteri kerajaan perpaduan. Kamu sepatutnya menjelaskan soalan, bukan menghina kerajaan,” katanya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut mencelah dengan menyindir tindakan Rayer yang disifatkannya lebih teruk kerana seorang penyokong kerajaan membantah timbalan menteri kerajaan sendiri.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor kemudian beberapa kali meminta Ahli Parlimen menjaga tatatertib sebelum mengarahkan Ahmad menarik balik perkataan “kencing” dan memohon maaf.

Ahmad pada mulanya mempertahankan pantun itu dengan menyatakan beliau tidak menyebut PH kerana nama gabungan berkenaan telah dibuang daripada versi asal.

Bagaimanapun, selepas arahan berulang, beliau akhirnya akur.

“Kencing, yang Speaker kata tarik balik ya. Kencing tarik balik,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beberapa Ahli Parlimen PH menggesa Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri susulan pantun yang didakwa menyindir pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkata, 29 Ahli Parlimen telah mengemukakan soalan ketika perbahasan peringkat jawatankuasa, namun Ahmad memilih untuk menyampaikan ucapan yang disifatkannya sebagai berunsur politik melampau dan provokatif.

Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) pula berkata Ahmad sepatutnya berundur sekiranya tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan ketika ini.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) menegaskan kedudukan Ahmad sebagai anggota kerajaan perpaduan menuntut tanggungjawab bersama, bukannya menyampaikan sindiran terhadap pentadbiran yang disertainya.

“Jadi kalau timbalan menteri dalam penggulungan beliau mengeluarkan kata-kata sedemikian, menyindir kerajaan yang sedia ada ini dia sepatutnya letak jawatan,” katanya.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya, Ahmad menegaskan BN tidak pernah menjanjikan pemansuhan tol, PTPTN, pemberian KWSP kepada suri rumah atau penurunan harga minyak kepada RM1.50 seliter.

Beliau berkata, pihak yang membuat janji berkenaan perlu bertanggungjawab menjelaskan perkara itu kepada rakyat.

BBerkaitan

Latest articles