KUALA TERENGGANU: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas pelantikan pemimpinnya, Chan Chee How sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bagi mewakili suara masyarakat minoriti di negeri itu.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan kepentingan masyarakat minoriti turut diberi perhatian.
Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kepercayaan yang diberikan kepada pemimpin Gerakan itu.
Menurutnya, dalam sebuah masyarakat majmuk, amalan demokrasi tidak seharusnya hanya memberi ruang kepada suara golongan majoriti, sebaliknya pandangan masyarakat minoriti juga perlu didengar dalam proses membuat keputusan.
“Kami menerima pelantikan ini bukan kerana mengejar gelaran mahupun kedudukan peribadi, tetapi demi memikul tanggungjawab menjadi jambatan penghubung antara masyarakat bukan Islam dengan kerajaan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dominic berkata, kepentingan masyarakat Cina, India dan komuniti bukan Islam lain termasuk hak, budaya, pendidikan serta kebebasan beragama perlu dihormati dan diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, wakil lantikan itu juga diharapkan dapat mendengar permasalahan rakyat, mengemukakan cadangan membina serta memastikan suara golongan minoriti tidak terpinggir dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambahnya, peluang berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membuktikan nilai pelantikan itu melalui tindakan dan pelaksanaan tanggungjawab yang diberikan.
“Berbeza pandangan, namun kekal menghormati; berlainan latar belakang, namun punya kesepakatan; meraikan kepelbagaian, tanpa berpecah-belah.
“Inilah semangat Malaysia yang sentiasa kami pertahankan,” katanya.










