KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan rasmi berhubung tujuh isu yang dibangkitkan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, dakwaan membabitkan integriti pentadbiran, penggunaan dana awam dan institusi penguatkuasaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana memerlukan penjelasan berdasarkan fakta serta bukti.
Menurutnya, walaupun Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diasaskan Rafizi gagal memenangi sebarang kerusi daripada 16 kerusi yang ditandingi, isu yang dibangkitkan sepanjang kempen berkenaan tetap perlu diberikan perhatian.
“Kebebasan bersuara mesti disertai tanggungjawab terhadap fakta dan bukti.
“Tuduhan serius yang tidak disahkan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, reputasi institusi negara dan kepercayaan rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Beliau berkata, tujuh isu yang memerlukan penjelasan itu termasuk dakwaan mafia korporat dan hubungan politik, pembayaran RM9.5 juta kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan serta dakwaan campur tangan dalam NexG Bhd.
Selain itu, BN turut membangkitkan dakwaan potensi kerugian RM472 juta dana awam dalam Zetrix AI, status projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1.05 bilion, tunggakan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta serta siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Mengulas dakwaan mafia korporat, Mohd Kurniawan berkata, BN menyokong siasatan menyeluruh oleh pasukan petugas khas diketuai Peguam Negara dan menggesa hasilnya dimaklumkan kepada umum tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
Bagi dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan pula, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan bukti terhadap sebarang kesalahan yang dikenal pasti.
Dalam isu NexG Bhd, beliau berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia perlu meneliti dakwaan berkaitan pengaruh politik serta urusan korporat yang dibangkitkan.
Sementara itu, berhubung pelaburan dalam Zetrix AI, BN menggesa Kementerian Kewangan dan institusi berkaitan mendedahkan kedudukan sebenar pegangan saham serta membezakan antara anggaran kerugian atas kertas dengan kerugian yang telah direalisasikan.
Mengenai projek NIISe, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diminta mengesahkan status pelaksanaannya selain memberikan jaminan terhadap keselamatan data imigresen negara.
BN turut meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan status kutipan semula tunggakan hasil JPJ berjumlah RM314 juta, termasuk tindakan susulan berhubung isu cek bernilai RM231 juta.
Dalam isu pemilikan saham Azam Baki, beliau menggesa kerajaan menjelaskan status dan hasil siasatan tertakluk kepada undang-undang bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi penguatkuasaan terus terpelihara.
Sehubungan itu, Mohd Kurniawan berkata, Perdana Menteri, kementerian dan agensi berkaitan perlu memberikan penjelasan secara telus dan berfakta di Dewan Rakyat berhubung semua isu berkenaan.
“Sebarang dakwaan yang mempunyai asas hendaklah disiasat secara bebas dan profesional tanpa campur tangan politik.
“Sekiranya terdapat bukti salah laku, tindakan undang-undang mesti diambil tanpa mengira kedudukan individu terbabit.
“Sebaliknya, jika mana-mana tuduhan terbukti palsu atau berunsur fitnah, pihak yang terjejas berhak mendapatkan pembelaan melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” katanya.
Dalam sidang media sama, beliau turut merakamkan tahniah kepada kepimpinan dan jentera BN serta Perikatan Nasional (PN) atas kemenangan gabungan itu dalam PRN Melaka.
Gabungan BN-PN memenangi 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan BN memperoleh 21 kerusi manakala PN tiga kerusi.
Beliau turut menyokong kesepakatan mengekalkan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka dan menyifatkan keputusan pengundi sebagai gambaran keyakinan terhadap kestabilan politik serta kepimpinan negeri itu.










