KUALA TERENGGANU: Pas terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kedudukan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang kini disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu boleh dibincangkan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi menentukan pembahagian kerusi dalam kerjasama politik kedua-dua gabungan berkenaan.
Menurutnya, prinsip mengekalkan status quo seperti yang digunakan dalam kerjasama politik di Melaka sebelum ini boleh dijadikan asas perbincangan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Semua sedia maklum kerusi DUN Terengganu ada 32 dan hanya lima kerusi yang bukan daripada Pas. Ruang lain saya rasa tidak ada.
“Jadi, ini antara perbincangan antara PN dan BN untuk menentukan bagaimana kedudukan lima kerusi ini boleh dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2027 pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Isnin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023, Bersatu memenangi lima daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan menerusi PN, iaitu Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama BN-PN, Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN berkata, kesepakatan yang dimulakan di Johor, diikuti Negeri Sembilan dan terbaharu Melaka menjadi asas kepada usaha membina persefahaman lebih luas menjelang PRU16.
Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan khusus berhubung persiapan menghadapi PRN Terengganu dan Perak masih belum dimulakan kerana kedua-dua pihak mahu menyelesaikan agenda kerjasama sedia ada secara berperingkat.
“Buat masa ini kita selesaikan satu per satu. Selesai Melaka, Alhamdulillah semuanya baik. Kita bentuk kerajaan dan lihat bagaimana kita boleh menyumbang kepada pembinaan kerajaan negeri Melaka.
“Apabila keadaan sudah agak stabil, barulah kita akan meneruskan siri-siri perbincangan yang berikutnya,” katanya.
Kerjasama politik BN dan PN sebelum ini turut diperluas menerusi kesepakatan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sepanjang tahun ini.










