PAC Bimbang Peralihan Kepimpinan MOT, AKPS Jejas Pengurusan Lapangan Terbang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan peralihan kepimpinan di Kementerian Pengangkutan (MOT) dan kemelut kepimpinan tertinggi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang berpotensi menjejaskan pengurusan serta keselamatan lapangan terbang negara.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, perubahan kepimpinan politik tidak seharusnya melumpuhkan proses membuat keputusan atau menjejaskan pelaksanaan projek berimpak tinggi melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurutnya, perkara itu dibangkitkan dalam penyata tindakan susulan PAC berhubung pengurusan lapangan terbang awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), MOT dan MAHB yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin.

“PAC menegaskan bahawa sebarang perubahan ataupun peralihan kepimpinan politik tidak boleh sama sekali melumpuhkan proses membuat keputusan, melewatkan agenda transformasi operasi MAHB pascapenswastaan mahupun menjejaskan jadual pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi.

“Ketua Setiausaha MOT selaku pegawai pengawal bersama Jemaah Menteri wajib memastikan kelangsungan tadbir urus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAC turut memandang serius kemelut kepimpinan tertinggi AKPS susulan penamatan perkhidmatan ketua pengarah agensi berkenaan baru-baru ini.

Katanya, AKPS merupakan antara agensi teras yang terlibat secara langsung dalam pengurusan keselamatan pintu masuk dan pembangunan lapangan terbang negara bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

“PAC menegaskan bahawa sebarang kekosongan ataupun gangguan rantaian perintah di peringkat tertinggi AKPS tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan kesiapsiagaan operasi, penyelarasan risikan antara agensi dan integriti kawalan sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, PAC menuntut jaminan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), MOT dan MAHB bahawa tahap keselamatan di semua pintu masuk negara, khususnya lapangan terbang awam, berada pada tahap tertinggi tanpa sebarang kelompongan.

Mengulas penyata tindakan susulan itu, Mas Ermieyati berkata, PAC turut menetapkan beberapa perkara penting bagi memastikan pengurusan aset strategik negara dilaksanakan secara lebih cekap, telus dan berkesan.

Antaranya, menghentikan budaya kerja secara silo dalam kalangan kementerian, agensi dan pihak berkepentingan yang disifatkan menjejaskan produktiviti serta menyebabkan pembaziran sumber negara.

Beliau berkata, perancangan pembangunan lapangan terbang perlu dilaksanakan secara proaktif dan menyeluruh, termasuk mengambil kira pemerkasaan ekonomi kawasan sekitar serta input syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air.

Selain itu, PAC mendesak MOF dan MOT memastikan laporan kewangan MAHB diterbitkan secara berkala, khususnya berkaitan projek bermodal tinggi seperti aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan pembesaran lapangan terbang.

“Status penyenaraian MAHB daripada Bursa Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan ketelusan awam,” katanya.

PAC turut menegaskan bahawa kesemua 39 lapangan terbang awam di negara ini kekal sebagai aset strategik milik kerajaan di bawah perjanjian operasi.

Kawalan strategik majoriti sekurang-kurangnya 70 peratus oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pegangan saham khas (golden share) oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) juga perlu dipertahankan sepenuhnya.

Dalam aspek perolehan pula, beliau berkata, PAC menuntut tindakan tegas dan berterusan bagi membanteras amalan kartel serta monopoli kontraktor yang tidak kompeten.

Katanya, kelemahan penyelenggaraan sehingga menyebabkan kerosakan tandas, kebocoran bumbung dan gangguan aerobridge tidak sepatutnya terus berulang, selain penalti kewangan perlu dikenakan mengikut kerangka kualiti perkhidmatan (QOS) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Untuk rekod, penyata tindakan susulan itu dibuat selepas laporan asal berhubung pengurusan lapangan terbang awam dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2026, manakala prosiding susulan bersama pegawai pengawal diadakan pada 5 Oktober lalu bagi meneliti maklum balas terhadap lapan syor PAC.

Mas Ermieyati berkata, PAC akan terus memantau pelaksanaan syor berkenaan dan tidak teragak-agak memanggil semula pegawai pengawal sekiranya berlaku kegagalan atau kelewatan dalam melaksanakan penambahbaikan yang dipersetujui.

BBerkaitan

Latest articles