SEREMBAN: Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan (NS), Datuk Ismail Lasim bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) menarik balik surat berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir disifatkan sebagai langkah positif ke arah meredakan kemelut institusi diraja negeri itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan, Mujibu Abd Muis berkata, keputusan berkenaan menunjukkan perubahan pendirian politik yang signifikan dalam usaha mengelakkan krisis perlembagaan dan institusi diraja daripada terus berpanjangan.
Menurutnya, penarikan balik surat berkenaan juga mencerminkan keperluan semua pihak menghormati kedudukan serta tertib pemerintahan beraja seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Pada asasnya, keputusan ini memperlihatkan satu perubahan pendirian politik yang signifikan.
“Penarikan balik surat tersebut boleh dianggap sebagai pengiktirafan terhadap keperluan untuk kembali menghormati kedudukan dan tertib pemerintahan beraja sebagaimana diperuntukkan dalam UUTKNS 1959,” katanya ketika dihubungi, seperti dilaporkan Berita Harian.
Bagaimanapun, Mujibu berpandangan keputusan itu belum boleh dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditangani, termasuk pembatalan pelantikan 10 EXCO, kedudukan pentadbiran kerajaan negeri serta hubungan antara Menteri Besar dengan institusi istana.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha meredakan ketegangan politik dan institusi atau political de-escalation yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
“Apa yang penting sekarang ialah semua pihak perlu meletakkan kepentingan institusi dan kestabilan negeri mengatasi kepentingan politik masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keunikan sistem pemerintahan beraja di NS yang berasaskan adat dan undang-undang tubuh negeri perlu menjadi pertimbangan utama dalam mencari penyelesaian kepada kemelut berkenaan.
Justeru, katanya, langkah menarik balik surat itu perlu disusuli tindakan konkrit bagi memulihkan hubungan antara kerajaan negeri dengan institusi istana serta memastikan pentadbiran kembali stabil.
Pada 14 November lalu, Ismail dilaporkan mengesahkan penghantaran surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bagi menarik balik dokumen berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz dan menyatakan semula sokongan kepada baginda.
Surat bertarikh 10 November itu turut ditandatangani 10 EXCO kerajaan negeri yang sebelum ini ditamatkan perkhidmatan.
Keputusan sebulat suara itu mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun lalu yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar NS.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam menegaskan krisis perlembagaan dan pentadbiran di NS akan diselesaikan secepat mungkin.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti itu akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan masalah rakyat dapat ditangani.
Kemelut institusi diraja NS tercetus sejak April lalu apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Pada Jun lalu, kumpulan sama turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka. Pada 3 Ogos, Ismail pula menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebelum menyokong kenyataan 10 EXCO berhubung perkara itu pada September.










