PH, Amanah Jangan Khayal Dengan Kejayaan PMX, Turun Padang Dengar Denyut Nadi Rakyat – Mujahid

KUALA LUMPUR: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menjadi isyarat amaran kepada gabungan itu supaya segera bermuhasabah dan memperbaiki hubungan dengan rakyat, bukannya terus bergantung kepada pencapaian Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan PRN yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan 21 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi manakala PH hanya memenangi empat kerusi, memperlihatkan jurang antara prestasi kerajaan dengan sokongan pengundi.

Beliau menyifatkan fenomena itu sebagai ‘Paradoks Melaka’ apabila pelbagai bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar RON95 tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan politik.

Menurutnya, tekanan kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan ketidaktentuan pendapatan masih membelenggu rakyat, sekali gus menyebabkan bantuan yang diterima belum mampu menghapuskan keresahan mereka.

“Rakyat mungkin menerima bantuan tetapi masih merasakan tekanan kos sara hidup. Bantuan mengurangkan beban, tetapi tidak semestinya menghilangkan keresahan tentang harga barang, pendapatan dan masa depan keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mujahid berkata, penerimaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani juga tidak semestinya selari dengan sokongan terhadap calon PH di peringkat negeri.

Beliau merujuk kajian awal ILHAM Centre yang menunjukkan penerimaan tinggi terhadap pentadbiran negeri Melaka, selain menekankan kepentingan program turun padang, penyelesaian masalah setempat dan hubungan langsung dengan masyarakat.

“Ini adalah loceng amaran kepada PH, bahawa kejayaan di Putrajaya dan pengalaman rakyat di kawasan masing-masing merupakan dua dimensi politik yang berbeza.

“Aktivis dan pempengaruh PH tidak boleh ‘berkhayal’ dengan PMX mendunia, tetapi perlu turun ke bawah merasa denyut nadi masyarakat marhaen di bawah dan menyelesaikannya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PH tidak boleh memandang ringan pengaruh politik identiti yang masih kuat berteraskan kaum, agama dan hubungan komuniti, termasuk penyelarasan politik Melayu-Islam serta kekuatan jentera UMNO dan Pas.

Dalam masa sama, Mujahid mengingatkan bahawa isu rasuah dan salah urus di peringkat nasional tidak semestinya menjadi keutamaan semua pengundi, yang mungkin lebih menilai kestabilan, perkhidmatan setempat dan ekonomi keluarga.

Bagaimanapun, beliau menegaskan rasuah tetap salah tanpa mengira pihak yang melakukannya, manakala amanah awam tidak boleh dikompromikan atas alasan kaum, agama atau kesetiaan politik.

Mengulas kekalahan PH di Bukit Katil, termasuk kehilangan kerusi yang sebelum ini disandang bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, Mujahid berkata rekod kepimpinan dan pengalaman pentadbiran bukan jaminan untuk mengekalkan kepercayaan pengundi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Amanah memperkukuh organisasi kawasan dan cawangan, selain memastikan gagasan Politik Rahmah diterjemahkan melalui tindakan serta program yang dekat dengan kehidupan rakyat, bukan sekadar slogan.

Mujahid yang juga Pengerusi Induk Pilihan Raya Amanah berkata, kekalahan itu tidak seharusnya menyebabkan PH dan Amanah mengorbankan prinsip perjuangan, sebaliknya menjadi ruang untuk menilai kelemahan organisasi, komunikasi dasar dan kepimpinan tempatan.

“Rakyat bukan sekadar mahu mendengar tentang perubahan. Mereka mahu melihat, merasa dan mempercayainya,” katanya.

Beliau menegaskan Politik Rahmah perlu membuktikan bahawa identiti Melayu-Islam mampu bergerak seiring dengan prinsip keadilan, amanah, kesederhanaan dan penghormatan terhadap masyarakat majmuk.

BBerkaitan

Latest articles