Mohd Shuhaily Masih Terajui AKPS – KPN

AYER KEROH: Kedudukan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) masih belum berubah apabila beliau terus menjalankan tugas seperti biasa, sementara menunggu arahan lanjut berhubung penempatannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini tiada sebarang arahan diterima pihaknya berhubung kemungkinan Mohd Shuhaily dikembalikan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, Mohd Shuhaily merupakan pegawai polis yang dilantik secara kontrak selama dua tahun untuk mengetuai AKPS, dengan pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Setakat ini saya belum menerima apa-apa arahan berhubung isu tersebut. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Datuk Seri Shuhaily adalah pegawai polis yang menjalani kontrak selama dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS.

“Pelantikan beliau dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, saya menunggu arahan lanjut sekiranya beliau dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan seterusnya. Setakat ini belum ada lagi apa-apa arahan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa keputusan berhubung pelantikan Ketua Pengarah baharu AKPS bagi menggantikan Mohd Shuhaily masih belum dimuktamadkan.

Saifuddin turut menegaskan bahawa operasi AKPS tidak akan terjejas susulan keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily ke pasukan asalnya, PDRM.

Bagi memastikan kelangsungan operasi agensi itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman turut diminta memberi perhatian khusus terhadap pengurusan dan pelaksanaan tugas AKPS dalam tempoh peralihan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles