Hadi: Islam Benarkan Berpihak Sementara Kepada Musuh Kurang Berbahaya

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan umat Islam boleh mengambil pendirian berpihak sementara kepada pihak yang kurang berbahaya bagi menewaskan musuh yang lebih besar, terutama ketika berada dalam keadaan lemah dan belum memiliki kuasa.

Beliau berkata, pendekatan itu berasaskan prinsip memilih kemudaratan yang lebih kecil daripada dua pilihan buruk, namun tidak bermakna umat Islam boleh menggadaikan prinsip agama yang wajib dipertahankan.

“Allah menerima sikap positif generasi awal dalam menghadapi situasi politik ketika belum berkuasa pada zamannya, dengan pendirian berpihak kepada musuh yang kurang bahayanya buat sementara waktu, supaya musuh yang lebih berbahaya dapat dikalahkan terlebih dahulu.

“Perkara ini bukanlah melarikan diri, tetapi memilih untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bahayanya terlebih dahulu, walaupun kedua-duanya merupakan musuh Islam,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS bertajuk Memahami Pilihan Raya Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu tidak menyebut secara khusus mana-mana parti politik tempatan atau mengaitkan prinsip berkenaan dengan kemungkinan pembentukan kerjasama politik baharu, termasuk dengan pihak yang pernah menjadi seteru PAS.

Kenyataan itu hadir ketika Perikatan Nasional (PN), yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Malah, Hadi bersama beberapa pemimpin BN dan PN sebelum ini turut memberi isyarat bahawa kerjasama antara kedua-dua gabungan itu berpotensi diteruskan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam tulisan sama, Hadi turut menyelar sistem demokrasi Barat yang didakwa terlalu berpaksikan wang, namun menggesa umat Islam menggunakan ruang kebebasan yang tersedia bagi memperjuangkan hak beragama, keadilan dan hak asasi manusia.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak bertindak secara keterlaluan dalam menghadapi cabaran politik, sebaliknya kekal berpegang kepada prinsip Islam.

“Apa yang penting, janganlah sekali-kali melampaui sempadan Allah yang meletakkan Islam di jalan yang tengah (al-wasatiyyah). Jangan pernah sekali-kali menyerah kalah dan bertindak secara melampau,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles