UMNO Punca Ketidakstabilan Kerajaan Perpaduan, Bukan DAP – Ramkarpal

KUALA LUMPUR: UMNO didakwa menjadi punca ketegangan dan ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan susulan tindakan serta pendirian politik parti itu sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, tindakan UMNO menjalinkan kerjasama politik dengan Pas ketika masih menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menimbulkan persoalan mengenai komitmen parti itu terhadap kerjasama gabungan.

Beliau berkata, perkara itu jelas dapat dilihat menerusi perkembangan politik di Johor, Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang berlangsung.

“Kerjasama dengan pembangkang ketika pada masa sama masih berada dalam pentadbiran menimbulkan persoalan serius mengenai keikhlasan dan komitmen UMNO terhadap mandat bersama gabungan, sekali gus berpotensi menggugat kestabilan kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ramkarpal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung teguran Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Azalina sebelum ini merujuk Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia bertarikh 16 Disember 2022 yang menyatakan bahawa sebarang perbezaan pandangan antara rakan gabungan sewajarnya diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau desakan supaya seseorang meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Ramkarpal menyifatkan kenyataan Azalina sebagai menghairankan dan mengingatkan bahawa tujuan utama perjanjian berkenaan adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Menurutnya, terdapat beberapa tindakan UMNO yang disifatkan tidak selari dengan semangat perjanjian tersebut, termasuk kritikan terbuka berterusan terhadap Perdana Menteri oleh pemimpin parti itu.

“Walaupun perbahasan dalaman secara membina adalah sihat dalam mana-mana gabungan, serangan terbuka yang berterusan hanya melemahkan kewibawaan Perdana Menteri dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan gesaan pemimpin UMNO supaya Parlimen dibubarkan ketika parti itu masih bersama-sama mentadbir negara dalam Kerajaan Perpaduan.

Ramkarpal berkata, tindakan sedemikian menunjukkan sikap tidak menghormati komitmen terhadap kestabilan politik yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk memastikan pentadbiran yang stabil dan pemulihan ekonomi, bukannya mewujudkan ketidaktentuan politik demi kepentingan sempit dan kepentingan parti sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan rekod tindakan UMNO menunjukkan parti itu yang telah menjejaskan persefahaman serta menguji batas kerjasama politik, bukannya DAP.

Ramkarpal berkata, DAP kekal sebagai rakan kerajaan yang boleh dipercayai dan berdisiplin serta komited untuk menghormati perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan DAP tidak akan berdiam diri sekiranya integriti gabungan itu terjejas.

“Kami kekal komited untuk menyokong agenda reformasi dan ekonomi Perdana Menteri, tetapi tidak akan teragak-agak untuk menyatakan kebenaran apabila integriti gabungan dikompromi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles