“Ini Satu Kecemasan, Saya Mahu Kongres Luluskan Dana AS$50 Bilion” – Sean Duffy

WASHINGTON: Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Sean Duffy mendesak Kongres meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak AS$50 bilion bagi membiayai rombakan menyeluruh sistem kawalan trafik udara negara itu susulan gangguan teknikal yang menyebabkan penerbangan dihentikan di seluruh negara.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai satu kecemasan dan menegaskan sistem kawalan trafik udara AS memerlukan pembaharuan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Ini satu kecemasan. Saya mahu Kongres meluluskan dana kecemasan. Ini isu bipartisan. Ini demi kepentingan Amerika. Saya mahu AS$50 bilion,” katanya pada sidang media, menurut laporan Reuters.

Desakan itu dibuat selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan penghentian sementara penerbangan di seluruh AS berikutan masalah komunikasi yang menjejaskan 22 pusat kawalan trafik udara laluan penerbangan.

Gangguan berkenaan menyebabkan ribuan penerbangan mengalami kelewatan dan pembatalan, menurut laporan media AS.

Duffy berkata, masalah berpunca daripada sistem rangkaian lama yang tidak mampu menampung beban data sehingga menyebabkan ketidakselarasan komunikasi dan maklumat dalam sistem kawalan trafik udara.

Beliau menjelaskan peralatan seperti suis dan penghala (router) lama serta penggunaan talian tembaga antara kelemahan infrastruktur yang memerlukan penggantian.

Menurutnya, kerajaan AS sebelum ini sudah memohon kira-kira AS$30 bilion bagi menaik taraf sistem berkenaan, namun jumlah itu perlu ditingkatkan kepada AS$50 bilion untuk membolehkan pembaharuan dilaksanakan secara menyeluruh.

Duffy berkata, AS memerlukan sistem baharu yang merangkumi perkakasan, perisian dan rangkaian telekomunikasi bagi memastikan operasi kawalan trafik udara lebih cekap dan stabil.

Beliau turut mengingatkan bahawa masalah kegagalan sistem bukan perkara baharu, malah insiden gangguan sebelum ini turut berlaku di Newark, New Jersey.

Sementara itu, ruang udara AS dibuka semula pada jam 8.15 malam waktu tempatan Jumaat selepas FAA menarik balik arahan penghentian penerbangan.

Bagaimanapun, Duffy berkata operasi penerbangan tidak dapat kembali normal serta-merta kerana syarikat penerbangan perlu menyusun semula jadual, pesawat dan kru yang terjejas.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa gangguan berkenaan berpunca daripada serangan siber, namun siasatan masih diteruskan.

Laporan Reuters menyebut kejadian itu meningkatkan penelitian terhadap keadaan infrastruktur kawalan trafik udara AS yang berdepan masalah peralatan usang serta kekurangan pengawal trafik udara.

BBerkaitan

Latest articles