SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan beliau telah menarik balik surat yang dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, berhubung status Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar negeri itu.
Perkara itu disahkan Ismail kepada Bernama, susulan dakwaan beliau mengambil langkah berundur daripada pendirian terdahulu dalam kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.
Surat berkenaan difahamkan turut menyatakan sokongan 10 bekas anggota exco yang dipecat terhadap Tuanku Muhriz, dengan merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang memberikan injunksi interim bagi mengekalkan status quo.
Perkembangan itu menyusul selepas Tuanku Muhriz pada 16 Oktober secara terbuka menegur Ismail berhubung surat yang didakwa menyatakan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Baginda turut mempertikaikan tindakan Menteri Besar itu dan meminta beliau menarik balik kenyataan berkenaan.
Sebelum itu, Majlis Raja-Raja pada 14 Oktober mengingatkan pihak yang terlibat supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru, sebaliknya menyelesaikan pertikaian menerusi proses perundangan serta mengikut adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Krisis berkenaan bermula pada April apabila empat individu yang mendakwa diri sebagai undang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Mereka kemudiannya didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka pada Jun.
Pada September, Ismail menyokong kenyataan exco negeri yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan semua anggota exco.
Sementara itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada pertengahan Oktober ditangguhkan dan ditetapkan semula pada 26 November.










