Isu Tahanan Rumah Najib Beri Momentum Kepada Umno Menjelang PRN Melaka

TANGGA BATU: Isu pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dilihat mampu meningkatkan momentum politik Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkembangan itu turut berpotensi memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, momentum berkenaan semakin ketara, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu dan penyokong Umno.

“Saya tengok momentum isu Najib ditahan dalam rumah ini sebagai satu momentum dalam kalangan orang Melayu, khususnya Umno.

“Saya tengok momentumnya agak baik, agak lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah Grand Finale BN-PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, malam tadi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menegaskan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib tidak boleh disamakan dengan pembebasan penuh daripada hukuman penjara.

Sebaliknya, beliau berkata, bekas Presiden Umno itu masih menjalani hukuman, cuma melalui kaedah tahanan rumah.

Katanya, walaupun pelaksanaan perintah berkenaan mungkin sesuatu yang baharu di Malaysia, konsep tahanan rumah bukan perkara asing di peringkat antarabangsa.

Beliau turut mengemukakan contoh bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi dan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, yang pernah melalui bentuk tahanan rumah.

Mengulas kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata, gerak kerja kedua-dua gabungan itu berjalan lancar dan lebih tersusun berbanding ketika pilihan raya di Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerjasama itu dizahirkan menerusi penyelarasan jentera parti sejak hari penamaan calon, termasuk petugas PAS yang membantu calon BN serta jentera BN yang turut membantu calon PN di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, kesepakatan berkenaan memperlihatkan BN dan PN bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan dengan lebih berkesan.

BBerkaitan

Latest articles