PUTRAJAYA: Peletakan jawatan bukan penghalang buat Anthony Loke untuk mempertahankan prinsip, sebaliknya beliau mahu membuktikan bahawa ahli politik perlu menunaikan setiap janji meskipun berdepan keputusan pahit.
Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, peletakan jawatannya berkuat kuasa semalam adalah selari dengan pendirian yang ditegaskan secara terbuka hampir dua bulan lalu.
Beliau mengakui kepercayaan masyarakat terhadap ahli politik semakin terhakis akibat sikap segelintir pemimpin yang gagal menyelaraskan kata-kata dengan tindakan.
“Saya nak dipilih sebagai seorang ahli politik yang cakap serupa bikin. Maksudnya, apa yang saya katakan itu akan saya buat, akan saya laksanakan dan bukan kata-kata omong kosong,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan dan Majlis Kasih Madani 2026, hari ini.
Menurut Loke, kedudukan dalam kerajaan boleh berakhir, namun kredibiliti perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepercayaan terhadap seseorang pemimpin.
“Jawatan boleh hilang, tetapi kredibiliti itu mesti dikekalkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap perkembangan peletakan jawatannya tidak menjejaskan sambutan Deepavali, selain merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas kerjasama sepanjang empat tahun beliau menerajui kementerian berkenaan.










