KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menjadi antara isu yang mendapat perhatian di Dewan Rakyat apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tampil memberikan penjelasan esok.
Penjelasan itu dinanti-nantikan bagi merungkai pelbagai persoalan berhubung mekanisme pelaksanaan tahanan rumah berkenaan, termasuk syarat, sekatan serta bentuk kawalan yang dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Saifuddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau akan menjawab semua persoalan berhubung isu berkenaan di Parlimen.
“Saya akan menjawab semua soalan itu di Parlimen esok,” katanya kepada New Straits Times ketika diminta mengulas perkara itu.
Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk sama ada ahli keluarga terdekat Najib dibenarkan terus tinggal bersamanya di kediaman sama, selain sama ada beliau boleh menerima kunjungan tetamu sepanjang menjalani hukuman di rumah.
Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes penyelewengan dana SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, selain mengetepikan sepenuhnya perintah pelepasan melalui pembayaran denda yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu.
Najib tiba di kediamannya di Taman Duta pada jam 9.27 malam semalam bagi menjalani baki hukuman berkenaan.
Beliau dibawa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak dengan diiringi beberapa kenderaan Jabatan Penjara dan polis.










