DUYONG: Permohonan peruntukan RM700,000 bagi pembinaan masjid di DUN Duyong, Melaka, tidak wajar disamakan dengan sumbangan peribadi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana kedua-duanya mempunyai asas berbeza.
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, penjelasan mengenai isu peruntukan itu bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya menjawab persoalan yang timbul susulan perbandingan berkenaan.
Menurutnya, permohonan peruntukan itu adalah prosedur rasmi bagi memenuhi hak rakyat mendapatkan bantuan kerajaan, manakala sumbangan peribadi bergantung kepada keputusan individu yang ingin menyumbang.
“Saya tak kritik, saya menjawab persoalan yang dimainkan. Dia membandingkan antara sumbangan Datuk Seri Najib dengan permohonan kita.
“Permohonan ini sebuah formaliti hak rakyat terhadap kerajaan. Sumbangan yang diterima Datuk Seri Najib itu adalah hak orang yang menyumbang secara peribadi dan begitu juga hak orang untuk menyumbang kepada masjid,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program AZH Jelajah Esport Melaka Biru 2026, malam tadi, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, kutipan sebanyak RM3.5 juta bagi pembinaan masjid berkenaan yang berjaya diperoleh dalam tempoh dua bulan adalah hasil sumbangan orang ramai.
Katanya, hampir RM500,000 daripada jumlah itu dikumpulkan menerusi seruan yang dibuatnya di media sosial, seperti disahkan pengerusi masjid berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa permohonan peruntukan RM700,000 perlu dipertikaikan, sedangkan jumlah itu hanya mewakili 22 peratus daripada keseluruhan kos projek.
“Jadi, apa alasan sangat kita nak minta RM700,000? Sebenarnya 22 peratus daripada keseluruhan projek, sedangkan kita layak untuk memohon 70 peratus.
“Tidak apalah, kita tak kisah. Insya-Allah, kita yakin dan percaya, kita tetap akan dapat sumbangan untuk siapkan projek ini,” katanya.










