Lelaki Tular Di Gadek Tampil Jelaskan Kejadian Ketika Banjir

ALOR GAJAH: Haji Ismail Abdul Latiff, penduduk Rumah Awam Gadek, tampil menjelaskan bahawa tegurannya dalam rakaman yang tular semalam dibuat ketika beliau sedang membantu jiran yang rumah mereka dilanda banjir.

Rakaman yang tersebar di aplikasi Threads itu dikaitkan dengan dakwaan berlaku kekecohan apabila jentera parti bertembung di sebuah rumah yang dilanda banjir ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ismail berkata beliau sedang bermesyuarat ketika menerima gambar banjir daripada penduduk sebelum bergegas ke lokasi.

Setibanya di situ, beliau melihat beberapa individu sedang mengambil gambar sebelum menemui jiran yang terjejas untuk menerangkan langkah yang perlu mereka ambil.

“Saya tak marah. Saya cuma nak jelaskan,” katanya dalam temu bual susulan ketika ditanya mengenai tegurannya dalam rakaman berkenaan.

Ismail berkata beliau meminta penduduk mengambil gambar keadaan rumah, mengisi borang, menyediakan salinan kad pengenalan dan membuat laporan polis.

Menurutnya, tujuh rumah terjejas dalam kejadian itu, manakala ahli jawatankuasa kampung bersama kumpulan Pemuda, Wanita dan Puteri turut hadir membantu.

Beliau berkata jawatankuasa kampung sudah biasa membantu penduduk setiap kali banjir melanda kawasan itu.

Dalam temu bual sama, beliau turut menyuarakan rasa terkilan terhadap pihak yang menurutnya hanya muncul sekali dalam tempoh lima tahun.

Mengulas keadaan rumah yang terjejas, Ismail berkata limpahan daripada tangki kumbahan turut memasuki sebuah rumah.

Beliau bercadang membawa calon yang disokongnya melawat rumah-rumah terjejas selepas hari pengundian bagi melihat sendiri keadaan penduduk dan menilai sama ada tangki itu boleh diganti.

BBerkaitan

Latest articles