KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) tanpa tol di Pantai Timur disifatkan sebagai antara jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau lebih dikenali sebagai Bossku.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kedua-dua projek berkenaan dilaksanakan menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya tanpa mengenakan tol kepada pengguna.
“Lebuhraya tanpa tol ini kita sedia maklumlah KBKK, LTU ini semua adalah jasa Bossku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai pendekatan pembiayaan hibrid bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, projek KBKK yang menelan kos RM2.3 bilion dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan dijadualkan siap pada akhir 2027.
Sementara itu, projek LTU atau Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang pula membabitkan kos RM7.7 bilion dan dijangka siap pada pertengahan 2028.
Beliau berkata, kerajaan mengambil kira keseluruhan pembangunan infrastruktur sedia ada sebelum menentukan pendekatan pembiayaan yang sesuai bagi projek LPT3.
Menjawab persoalan mengenai kemungkinan menggunakan model pembiayaan hibrid seperti projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang, Ahmad berkata, pendekatan berkenaan masih baharu.
“Pembiayaan hibrid ini ialah suatu perkara yang baru,” katanya.
Menurutnya, kajian awal LPT3 yang dijalankan antara 2020 hingga 2022 menganggarkan kos pembinaan sebanyak RM9.8 bilion bagi jajaran sepanjang 122 kilometer.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan kos pembinaan itu meningkat apabila mengambil kira perkembangan semasa pada 2026.
“Dan setakat ini tidak ada cadangan hibrid itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, cadangan LPT3 yang menghubungkan Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Tunjong, Kelantan itu masih dalam peringkat penyediaan dokumen Request for Proposal (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM).
Sebelum ini, kerajaan memutuskan projek sepanjang 122 kilometer itu dilaksanakan menerusi penswastaan secara Kerjasama Awam Swasta (PPP), dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.
Dokumen RFP berkenaan akan dimuktamadkan sebelum cadangan projek dibawa untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.










