Pengundi AS Mahu Demokrat Fokus Tamatkan Perang Iran, Tangani Kos Sara Hidup

WASHINGTON: Majoriti rakyat Amerika Syarikat (AS) mahu Parti Demokrat yang bakal menguasai Kongres memberi keutamaan kepada usaha menamatkan perang dengan Iran dan menangani peningkatan kos sara hidup.

Menurut laporan Reuters, hasil tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada Selasa mendapati 71 peratus responden menyokong supaya Kongres meluluskan undang-undang bagi menamatkan konflik Iran yang dilancarkan Presiden Donald Trump bersama sekutu AS, Israel, pada Februari lalu.

Dapatan itu merangkumi 93 peratus responden daripada Parti Demokrat dan 51 peratus daripada Parti Republikan.

Tinjauan selama empat hari yang berakhir pada 9 November itu turut mendapati 62 peratus responden menyokong usaha memansuhkan tarif import yang diperkenalkan pentadbiran Trump.

Selain itu, kira-kira sembilan daripada 10 responden berpendapat isu kos sara hidup perlu menjadi antara fokus utama Kongres dalam tempoh 100 hari pertama selepas memulakan tugas pada 3 Januari 2027.

Tekanan ekonomi itu dikaitkan dengan kenaikan harga bahan api susulan konflik Iran serta peningkatan harga barangan import akibat pelaksanaan tarif oleh pentadbiran Trump.

Dalam pada itu, majoriti responden daripada kedua-dua parti turut berpandangan Trump dan pemimpin Demokrat perlu berusaha bekerjasama bagi menangani isu yang dihadapi negara itu.

Tinjauan berkenaan turut mendapati 42 peratus responden berpendapat usaha Kongres untuk memulakan proses pemecatan Trump melalui pendakwaan (impeachment) akan membawa kesan buruk kepada negara, berbanding 33 peratus yang berpandangan sebaliknya.

Reuters melaporkan, Demokrat memperoleh majoriti terbesar mereka di Dewan Perwakilan dan Senat sejak sekurang-kurangnya 2008 menerusi pilihan raya pertengahan penggal yang berlangsung minggu lalu.

Parti itu dijadual mengambil alih kuasa di Kongres apabila penggal baharu bermula pada 3 Januari 2027.

Bagaimanapun, usaha Demokrat untuk melaksanakan agenda berkenaan dijangka berdepan cabaran, termasuk perbezaan pendapat dalam kalangan anggota parti mengenai pendekatan menangani kos penjagaan kesihatan dan tindakan terhadap pentadbiran Trump.

Tinjauan Reuters/Ipsos itu dijalankan secara dalam talian membabitkan 1,705 orang dewasa di seluruh AS dengan margin ralat kira-kira dua mata peratusan.

BBerkaitan

Latest articles