JAKARTA: Kontroversi berhubung kelayakan pendidikan mencetuskan kemelut politik di Indonesia apabila Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya kepada Presiden Prabowo Subianto.
Hasrat itu disampaikan Gibran ketika pertemuan bersama Prabowo yang berlangsung kira-kira dua setengah jam, semalam.
Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Prasetyo Hadi, berkata perkara itu dibangkitkan Gibran susulan perkembangan yang menimbulkan persoalan terhadap kelayakan pendidikannya.
“Dalam perbincangan itu, Naib Presiden menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan berikutan perkembangan yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Sekretariat Presiden.
Menurut Prasetyo, Prabowo tidak menolak hasrat berkenaan, sebaliknya memberikan nasihat kepada Gibran sepanjang pertemuan itu.
Gibran turut memohon ruang untuk membuktikan kesahihan dokumen pendidikannya menerusi proses perundangan di Mahkamah Pentadbiran Negara (PTUN).
Isu kelayakan pendidikan Gibran sebelum ini menjadi perhatian selepas Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 6 Oktober lalu memutuskan petisyen yang mencabar kelayakannya sebagai naib presiden tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, perkembangan itu disusuli keputusan Mahkamah Agung pada 30 Oktober lalu yang mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas milik Gibran tidak sah, menurut laporan agensi berita rasmi Indonesia, Antara.
Kontroversi berkenaan turut mencetuskan perhatian di Parlimen apabila Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menyambung semula persidangan selepas menerima pandangan parti politik mengenai kemungkinan penggunaan Hak Menyatakan Pendapat berhubung kelayakan pendidikan Gibran.
Pimpinan Parlimen dijangka meneliti perkara itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
Gibran, 38, yang juga anak sulung bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, mencipta sejarah sebagai naib presiden termuda negara itu selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada Februari 2024 bersama Prabowo.
Pasangan berkenaan kemudian mengangkat sumpah sebagai Presiden dan Naib Presiden Indonesia pada 20 Oktober 2024. – BERNAMA










