MELAKA: Barisan Nasional (BN) dicabar supaya keluar daripada kerajaan perpaduan jika benar-benar tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tindakan itu didakwa tidak dilakukan kerana bimbang kehilangan jawatan serta pengaruh politik.
Cabaran itu dilontarkan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook ketika berucap pada ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi, sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan pembubaran Parlimen lebih awal berbanding rombakan Kabinet.
Loke berkata, mandat untuk mentadbir negara masih berada di tangan Anwar yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Beliau turut menegaskan, peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan tidak akan menjejaskan sokongan DAP terhadap kerajaan perpaduan.
“Walaupun saya meletakkan jawatan sebagai menteri, saya sudah memberi jaminan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong pentadbiran Anwar. Beliau kekal sebagai perdana menteri,” katanya.
Menurut Loke, BN sepatutnya mengambil pendirian jelas sekiranya tidak bersetuju dengan kepimpinan Perdana Menteri, termasuk meninggalkan kerajaan dan melepaskan jawatan yang disandang.
Beliau mempersoalkan tindakan gabungan itu yang terus berada dalam kerajaan, sedangkan pada masa sama didakwa kerap membantah serta mengkritik Anwar.
“Kalau tidak bersetuju dengan perdana menteri, letak jawatan sahaja. Setiap hari menyuarakan bantahan, parti kamu menyerang perdana menteri siang dan malam, tetapi masih duduk dalam kerajaan.
“Mereka mahu kekalkan jawatan dalam kerajaan kerana tahu jika kehilangan jawatan itu, mereka juga akan hilang pengaruh,” katanya.
Loke turut mengingatkan pengundi di Melaka supaya tidak membiarkan BN bertindak sesuka hati, sebaliknya menggunakan undi mereka untuk memastikan gabungan itu tidak terlalu angkuh.
Terdahulu, Zahid menolak kemungkinan rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan, sebaliknya mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dan kerajaan baharu dibentuk.
Peletakan jawatan Loke disahkan semalam susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.
Loke yang hadir ke ceramah kempen PRN Melaka malam tadi disambut sorakan serta tepukan gemuruh penyokong, beberapa jam selepas mengumumkan peletakan jawatannya yang berkuat kuasa serta-merta.










