EL ARISH: Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton meluangkan masa meninjau operasi bantuan kemanusiaan di El Arish, Mesir, hari ini bagi melihat sendiri persiapan penghantaran bekalan ke Semenanjung Gaza.
Lawatan itu turut membawa Hamilton ke pintu sempadan Rafah dan gudang penyimpanan bantuan Bulan Sabit Merah Mesir bagi mendapatkan gambaran mengenai usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Menurut Pentadbiran Wilayah Sinai Utara menerusi Facebook, pemandu Britain berusia 41 tahun itu turut diberikan taklimat mengenai proses penyediaan serta penyelarasan bantuan sebelum dihantar ke Gaza.
Hamilton sememangnya aktif dalam kerja kebajikan dan kemanusiaan, termasuk menerusi penubuhan badan amal Mission 44 pada 2021 yang memberi tumpuan kepada pendidikan serta peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Beliau juga konsisten menyokong pelbagai inisiatif membantu masyarakat yang terjejas akibat konflik dan krisis kemanusiaan.










