Peletakan Jawatan Loke Bukti DAP Tidak Gadai Prinsip – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Keputusan Anthony Loke Siew Fook melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai bukti DAP tidak menggadaikan prinsip perjuangannya meskipun kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan Setiausaha Agung DAP itu menunjukkan parti berkenaan kekal konsisten dengan pendirian yang dipegang ketika menjadi pembangkang, khususnya dalam isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Menurutnya, kesediaan Loke melepaskan jawatan, kemudahan dan keistimewaan sebagai menteri demi mempertahankan prinsip membuktikan komitmen sebenar beliau terhadap perjuangan parti.

“Loke telah membuktikan dengan jelas bahawa inilah DAP yang sebenar apabila beliau sanggup mengorbankan jawatan demi prinsip, serta melepaskan segala kemudahan dan keistimewaan jawatan demi mempertahankan maruah,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng yang juga bekas Setiausaha Agung DAP berkata, Loke telah menunaikan janji untuk berundur, sekali gus membuktikan beliau bukan sekadar menyatakan pendirian, sebaliknya bertindak selaras dengan prinsip yang diperjuangkan.

Beliau menegaskan, DAP kekal konsisten menentang peranan utama Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya membabitkan RM52 bilion, tanpa mengira sama ada parti itu berada dalam kerajaan atau pembangkang.

Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta semalam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

Sebelum ini, Loke menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib, namun bersetuju meneruskan tugas buat sementara waktu atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jumaat lalu, beliau sekali lagi menegaskan akan berundur sebaik sahaja Najib memulakan tahanan rumah, menjadikan keputusan mahkamah berkenaan sebagai pencetus kepada pelaksanaan janji itu.

Guan Eng berkata, DAP tidak akan berkompromi dalam perjuangannya menegakkan kebenaran dan menolak kemungkaran, walaupun tindakan tersebut mengakibatkan parti kehilangan kedudukan dalam Jemaah Menteri.

Beliau turut menegaskan seluruh kepimpinan dan anggota DAP memberikan sokongan penuh kepada Loke atas keputusan yang diambil.

BBerkaitan

Latest articles