KUALA LUMPUR: Taiwan menangguhkan rundingan perdagangan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.
Taiwan News dalam laporannya pada Selasa memaklumkan, rundingan yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober itu ditangguhkan susulan ketegangan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Perkembangan berkenaan turut menimbulkan kebimbangan bahawa ketegangan itu boleh menjejaskan prospek pelaburan baharu syarikat Taiwan dalam sektor semikonduktor di Malaysia.
Menurut laporan itu, Anwar ketika wawancara berkenaan menegaskan pendiriannya bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengecam Beijing sekiranya menggunakan kekerasan terhadap Taiwan, Anwar membandingkan situasi itu dengan kemungkinan sebuah negeri di Malaysia cuba memisahkan diri daripada Persekutuan.
Beliau berkata akan menggunakan kekerasan bagi mempertahankan perpaduan negara.
Susulan kenyataan itu, Kementerian Luar Taiwan mengeluarkan kecaman keras dengan menyifatkannya sebagai ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan serantau serta menjejaskan kepercayaan politik antara Taiwan dan Malaysia.
Kementerian itu turut memberi amaran bahawa kenyataan berkenaan boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.
Bagaimanapun, Anwar kemudian menegaskan kepentingan penyelesaian secara aman terhadap isu Taiwan, selain mempertahankan pendirian Malaysia yang mengamalkan Dasar Satu China.
Taiwan News turut melaporkan Malaysia merupakan rakan penting dalam Dasar Baharu ke Arah Selatan (New Southbound Policy) Taiwan yang dilancarkan pada 2016 bagi memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara Asia Tenggara.
Berdasarkan data kerajaan Malaysia, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Taiwan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mencecah NT$1.73 trilion (RM213.5 bilion), meningkat 39.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu sebahagian besarnya didorong produk elektrik dan elektronik.
Antara syarikat teknologi Taiwan yang mengembangkan operasi di Malaysia termasuk Siliconware Precision Industries, ASE Technology Holding, Chipbond Technology dan Phison Electronics.
Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Taiwan di Malaysia, Lin Kai-min, yang dipetik dalam laporan Nikkei Asia berkata, ketegangan hubungan dua hala itu belum memberi kesan ketara terhadap operasi perniagaan sedia ada kerana syarikat terbabit sudah membuat komitmen pelaburan besar di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kenyataan Anwar menyebabkan pelabur Taiwan lebih berhati-hati untuk membuat pelaburan baharu atau mengembangkan operasi mereka.
“Malaysia kekal sebagai lokasi menarik untuk pelaburan Taiwan, tetapi kita tidak seharusnya lupa bahawa pelabur mempunyai pilihan lain di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau turut menjelaskan syarikat Taiwan yang membekalkan produk kepada pelanggan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) semakin mengutamakan keselamatan rantaian bekalan, perlindungan teknologi serta pematuhan kawalan eksport.
Ketidaktentuan geopolitik, katanya, berpotensi mendorong syarikat terbabit menilai semula lokasi pelaburan masa depan dan operasi sensitif mereka.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), William Ng, berkata pengeluar Taiwan bergantung kepada pembekal tempatan bagi mendapatkan perkhidmatan peralatan ketepatan, fabrikasi logam, peralatan automasi dan pembungkusan.
Beliau berkata operasi syarikat Taiwan di Malaysia masih berjalan seperti biasa, namun memberi amaran bahawa pelaburan masa depan berpotensi beralih ke Vietnam atau Thailand sekiranya persepsi terhadap pendirian berkecuali Malaysia berubah.
Perkembangan itu meletakkan Malaysia berdepan cabaran untuk mengekalkan keseimbangan hubungan ekonomi dengan China dan Taiwan, khususnya ketika negara sedang berusaha memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global.










