MELAKA: Pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah digesa menyatakan pendirian mereka melalui peti undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, beliau percaya ramai rakyat tidak dapat menerima keputusan berkenaan, namun menegaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang perlu terus dihormati.
Menurutnya, ketidakpuasan hati terhadap keputusan itu boleh diterjemahkan melalui pilihan raya tanpa mengetepikan kerangka perundangan negara.
“Saya yakin ramai yang tidak boleh terima hakikat bahawa Najib dibenarkan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah. Semestinya, kita hormati kuasa Agong, Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan undang-undang. Pengampunan sememangnya diperuntukkan di bawah perlembagaan.
“Sama ada kita terima keputusan itu atau tidak, kita boleh suarakan pendirian melalui peti undi,” katanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Ayer Keroh.
Loke yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta hari ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tahanan rumah Najib, turut mengingatkan pengundi supaya tidak menjadikan isu bekas perdana menteri itu sebagai satu-satunya pertimbangan dalam PRN.
Sebaliknya, beliau berkata, pilihan raya berkenaan turut menentukan masa depan pembangunan setempat, prestasi wakil rakyat serta kesejahteraan rakyat.
“Pilihan raya ini bukanlah hanya tentang seorang individu, bukan tentang Najib saja. Ia juga tentang wakil rakyat dan pembangunan tempatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Loke menyifatkan gesaan supaya Parlimen dibubarkan sebagai permainan politik yang bertujuan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pihak dalam kerajaan yang tidak sehaluan dengan Anwar perlu membuat keputusan jelas sama ada mahu terus menyokong pentadbiran itu atau menarik balik sokongan mereka.
“Kita tahu mereka cuba guna momentum sekarang ini untuk menekan perdana menteri bubar Parlimen.
“Tetapi saya yakin perdana menteri tidak akan tunduk kepada tekanan kerana beliau masih ada mandat, masih ada sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya. Mandat beliau ada setahun lagi,” katanya, lapor Bernama.
Loke berkata demikian ketika mengulas desakan supaya Parlimen dibubarkan berbanding Jemaah Menteri dirombak, susulan tempoh perkhidmatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang dijadual berakhir pada 11 Disember.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP akan terus memberikan sokongan penuh kepada Anwar untuk memimpin negara sehingga tamat penggal kerajaan, meskipun dirinya tidak lagi memegang jawatan menteri.










