Mat Sabu Gesa Mekanisme Tahanan Rumah Terpakai Kepada Semua Banduan

MERLIMAU: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa supaya satu mekanisme perundangan diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki tempoh melalui tahanan rumah.

Beliau berkata, mekanisme itu perlu tertakluk kepada peraturan yang adil, telus dan terpakai kepada semua banduan tanpa mengira kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak boleh dikompromi sehingga mewujudkan sistem keadilan dua darjat dalam negara.

“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad turut menjelaskan bahawa pendiriannya berhubung isu tahanan rumah bukan berpunca daripada sebarang pertikaian peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau keluarganya.

Sebaliknya, beliau menegaskan pendirian itu berasaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang perlu dipertahankan demi memastikan setiap individu mendapat layanan sama rata di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menyeru badan bukan kerajaan (NGO), pengamal undang-undang dan masyarakat sivil supaya bersama-sama memperjuangkan mekanisme berkenaan bagi menjamin hak yang saksama kepada semua warganegara.

Sebagai tanda komitmen terhadap usaha itu, Mohamad berkata, beliau bersedia menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai Menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal ini untuk membantu membiayai gerakan NGO yang memperjuangkan mekanisme berkenaan.

“Keadilan mesti ditegakkan tanpa diskriminasi, tanpa keistimewaan terpilih dan tanpa layanan dua darjat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles