KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran perkhidmatan badal haji yang mendakwa mendapat pengiktirafan atau sokongan rasmi Lembaga Tabung Haji (TH).
TH menegaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf atau memberikan sokongan rasmi kepada mana-mana pengendali perkhidmatan badal haji seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menerusi kenyataan hari ini, TH menyifatkan dakwaan yang disebarkan di media sosial berhubung perkara itu sebagai tidak benar dan berpotensi mengelirukan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai diminta mendapatkan maklumat serta membuat semakan kesahihan sesuatu dakwaan menerusi saluran rasmi TH sebelum menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Pada masa sama, TH memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama atau logo institusi itu.
“TH berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyalahgunaan nama dan logonya,” menurut kenyataan itu.
Penegasan berkenaan dibuat susulan beberapa aduan diterima daripada orang ramai mengenai tawaran badal haji oleh pihak tertentu yang menggunakan nama TH bagi mengaitkan perkhidmatan mereka dengan institusi berkenaan, termasuk melalui hantaran tular di media sosial.










