SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung mengikut perancangan bagi mengelakkan badan legislatif itu terbubar dengan sendirinya.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, menegaskan persidangan DUN akan diusahakan sebaik mungkin mengikut jadual, dengan segala persiapan bagi pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan sudah diselesaikan.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini hanya menunggu penetapan tarikh rasmi bagi membolehkan persidangan berkenaan diadakan.
“Dari segi belanjawan ini, persediaan pun sudah sedia semuanya. Kita juga sudah memuktamadkan belanjawan dan hanya menunggu tarikh untuk mengadakan sidang DUN.
“Sebaik mungkin kita cuba laksanakan mengikut jadual, tidak timbul soal DUN akan terbubar. Insya-Allah, sebagai ketua kerajaan negeri saya tidak akan biarkan DUN terbubar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Penasihat Khas Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk VS Mogan, di sini, hari ini.
Ismail diminta mengulas persiapan kerajaan negeri bagi menghadapi persidangan DUN akan datang, termasuk pembentangan belanjawan tahunan.
Sebelum ini, persidangan DUN Negeri Sembilan dirancang bermula 26 November, manakala Belanjawan Negeri 2027 dijadualkan dibentangkan pada 27 November. – BERNAMA










