ISTANBUL: Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terus berjalan lancar meskipun kedua-dua gabungan mempunyai pendirian politik berbeza, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu menegaskan, perbezaan pandangan antara parti tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan tanggungjawab pentadbiran negara, sebaliknya urusan kerajaan kekal berlandaskan prinsip profesionalisme.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, hubungan kerja antara BN dan PH berada dalam keadaan baik, termasuk pengurusan kementerian serta perjalanan mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung setiap minggu.
Beliau berkata, sepanjang lebih empat tahun bekerjasama dalam kerajaan, perbezaan pendirian politik tidak pernah mencetuskan konflik sehingga mengganggu urusan pentadbiran.
“Tiada permasalahan dari segi hubungan. Kami mengendalikan kementerian dan mengadakan mesyuarat Kabinet setiap minggu.
“Pelaksanaan urusan dan pentadbiran kerajaan dilakukan secara profesional, dan tidak pernah timbul perbezaan pendapat ataupun perbalahan sepanjang lebih empat tahun ini,” katanya.
Zahid berkata demikian ketika ditemui wartawan Malaysia pada sidang media sempena lawatan kerja empat hari ke Turki yang berakhir hari ini.
Beliau diminta mengulas kemungkinan isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi kesan terhadap hubungan BN dan PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Mengulas mengenai perbezaan strategi politik antara parti, Zahid berkata, perkara itu perlu dilihat dalam konteks kematangan demokrasi, terutama apabila gabungan yang sama berada dalam kerajaan Persekutuan tetapi berdepan persaingan di peringkat negeri.
Katanya, keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa, sebagaimana dapat disaksikan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini serta kempen PRN Melaka yang sedang berlangsung.
Beliau berpandangan, perbezaan strategi dan pendirian politik tidak seharusnya diterjemahkan sebagai keretakan dalam hubungan antara parti kerajaan.
“Pada hemat saya, kematangan politik di Malaysia kini berada pada tahap hampir optimum, dan walaupun terdapat langkah serta pendekatan berbeza dalam bidang politik, insya-Allah perkara itu tidak akan menjejaskan kestabilan politik negara,” katanya.










