PGIRM Tegur Kerajaan, Jangan Sibuk Politik Hingga Nasib Pencarum KWSP Terabai

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegur kerajaan dan ahli politik supaya tidak terlalu dibelenggu pertelingkahan politik sehingga mengabaikan persoalan kebajikan serta masa depan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, isu politik sering mendapat perhatian segera dengan pelbagai kenyataan dan respons dikeluarkan pihak berkaitan, namun persoalan kehidupan pencarum tidak diberikan perhatian setara.

Menurutnya, mandat rakyat bukan lesen untuk melupakan kepentingan rakyat, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab untuk mendengar, menjawab dan mengambil berat terhadap keperluan mereka.

“Pertelingkahan politik mungkin memerlukan penyelesaian. Pertikaian institusi mungkin mempunyai implikasi terhadap negara. Namun, persoalan kehidupan rakyat tidak boleh terus diletakkan di barisan belakang hanya kerana agenda politik lebih kuat menguasai perhatian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Azmi berkata, dasar persaraan perlu mengambil kira perbezaan keadaan pekerjaan, pendapatan, tanggungan dan kemampuan kewangan setiap kumpulan pencarum, bukan sekadar dinilai berdasarkan matlamat jangka panjang.

Sehubungan itu, PGIRM mengemukakan lima persoalan kepada kerajaan, antaranya pihak yang bertanggungjawab memantau kesan dasar KWSP, mekanisme mengambil kira maklum balas pencarum serta jaminan isu simpanan persaraan terus menjadi agenda pentadbiran.

Beliau menegaskan kerajaan tidak semestinya menerima semua cadangan dikemukakan, namun setiap tuntutan berasas wajar dinilai dan diberikan penjelasan sewajarnya.

“Jangan sampai urusan politik mendapat perhatian segera, sedangkan persoalan kehidupan pencarum terus menunggu tanpa penjelasan yang sewajarnya,” katanya.

Tambah beliau, PGIRM akan terus membawa suara pencarum dan menuntut akauntabiliti pihak yang diberikan amanah mentadbir negara.

“Kedudukan yang disandang hari ini datang daripada mandat rakyat. Tanggungjawab kepada rakyat tidak boleh dihentikan hanya kerana pilihan raya telah selesai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles