‘Discharge’ Hanya Berkaitan Denda, Bukan Hukuman Penjara – Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Kekeliruan mengenai penggunaan perkataan ‘discharge’ dalam perintah mahkamah berkaitan pembayaran denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak seharusnya disamakan dengan pembebasan daripada hukuman penjara.

Peguam kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, perintah Order of Discharge on Payment of Fine perlu difahami berdasarkan konteks hukuman yang dikenakan terhadap seseorang pesalah.

Menurutnya, Najib berdepan dua bentuk hukuman berasingan iaitu denda dan penjara, justeru pembayaran denda hanya melibatkan hukuman berkaitan denda berkenaan.

“Mereka fahamkan apabila ada perkataan discharge itu, keluarlah dari penjara sebab denda sudah dibayar.

“Bukan begitu. Beliau itu ada dua hukuman. Pertama, kena denda dan kedua, kena penjara.

“Kalau bayar denda itu, discharge itu berkaitan dengan denda sahaja. Penjara kena terus jalankan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa istilah discharge tidak boleh disamakan dengan Acquitted and Discharged (dilepas dan dibebaskan) atau Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA).

Mengulas kemungkinan pelaksanaan tahanan di rumah, Shamsuddin berkata, kediaman seseorang boleh dijadikan tempat menjalani hukuman sekiranya premis itu telah diwartakan sebagai penjara.

“Kalau rumah dia sudah diwartakan jadi penjara, bolehlah dia dipenjarakan di rumah dia sebab sudah bertukar jadi penjara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pihak yang masih mendakwa terdapat kekaburan dalam memahami titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu berkenaan.

“Agong titah, tidak ada ambiguity pun. Kalau anda kata masih ada yang perlu clarification sehingga pelaksanaan perlu ditangguhkan sementara, anda perlu go back to school lah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsuddin menegaskan bahawa pembayaran denda tidak bermaksud hukuman penjara turut terbatal, sebaliknya hukuman penjara perlu diteruskan sehingga tarikh yang ditetapkan.

“Pendek kata, denda sudah dibayar. Hukuman penjara masih diteruskan sehingga tarikh yang ditetapkan.

“Benda mudah jangan buat susah!” katanya.

BBerkaitan

Latest articles