Isu Tahanan Rumah Najib: Discharge Atau Transfer?

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada pelaksanaan titah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak memerlukan perintah discharge (pelepasan) atau transfer (pemindahan jagaan) kini menjadi tumpuan susulan perbezaan tafsiran terhadap dokumen mahkamah.

Isu itu timbul apabila perintah bermeterai Mahkamah Tinggi bertarikh 6 November lalu menggunakan istilah Order of Discharge on Payment of Fine yang mengarahkan pegawai penjara melepaskan bekas Perdana Menteri itu selepas bayaran denda RM50 juta dijelaskan.

Bagaimanapun, penggunaan istilah discharge menimbulkan persoalan kerana ia lazimnya merujuk kepada pelepasan seseorang daripada jagaan penjara, bukannya pemindahan ke lokasi tahanan lain.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Kementerian Dalam Negeri pada tarikh sama mewartakan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta sebagai penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

Pewartaan itu membolehkan premis berkenaan digunakan sebagai lokasi penahanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tatacara memindahkan Najib dari Penjara Kajang ke kediaman terbabit.

Dari sudut pentadbiran penjara, proses berkenaan lebih menjurus kepada pemindahan banduan (transfer) kerana status tahanan masih dikekalkan di bawah kawal selia Jabatan Penjara.

Selain percanggahan istilah, dokumen perintah mahkamah itu turut dipersoalkan berikutan beberapa ketidakselarasan draf, termasuk penggunaan frasa ‘In The Tinggi Court at Wilayah Persekutuan’, gabungan teks Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu serta ejaan nama yang tidak konsisten.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai ketelitian penyediaan dokumen perundangan berkenaan, khususnya apabila ia membabitkan pelaksanaan titah pengampunan diraja.

Sehubungan itu, penjelasan atau pembetulan daripada Mahkamah Tinggi dilihat sebagai langkah yang boleh merungkai kekeliruan berhubung status tahanan serta tatacara pelaksanaannya.

Penyelarasan berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong berjalan mengikut lunas undang-undang tanpa menimbulkan pertikaian terhadap bidang kuasa Jabatan Penjara.

BBerkaitan

Latest articles